Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
KIM SWEE mengakui barisan pemain skuad negara hilang fokus kerana terlalu mengambil mudah kemampuan PNG.
KETUA jurulatih skuad Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee tidak mahu cepat melatah walaupun pasukan kendaliannya tewas 0-2 kepada Papua New Guinea (PNG) pada aksi persahabatan pertama sempena Siri Jelajah Oceania di Port Moresby, semalam.
Jelas Kim Swee, dia telah mengenal pasti beberapa faktor kelemahan antaranya barisan pemain dilihat terlalu yakin sehingga menjejaskan fokus mereka sepanjang perlawanan tersebut.
Begitupun jelas Kim Swee, dia berharap keputusan yang mengecewakan itu dapat memberi pengajaran berguna kepada semua pemainnya agar mereka bangkit dan terus konsisten dengan rentak permainan masing-masing.
“Kita perlu bangkit. Kita juga tidak boleh berasa terlalu selesa dan para pemain pula perlu menganggap semua perlawanan yang mereka harungi itu adalah penting. Kita tidak boleh mengambil mudah kemampuan mana-mana pasukan lawan.
“Ini salah satu faktor yang kita perlu baiki segera,” jelas Kim Swee semalam.
Dalam perkembangan sama, Kim Swee mengakui bahawa skuad Papua New Guinea kini telah menunjukan peningkatan yang sangat memberangsangkan dan gaya permainan mereka agak menarik, malah bijak menutup ruang kepada pemain negara untuk melancarkan gerak.
“Beberapa pemain kita yang diturunkan pada perlawanan tersebut tidak menunjukkan karakter sebenar. Ini satu perkara yang perlu saya beri perhatian,” jelasnya lagi.
Pada perlawanan semalam, penyerang PNG, Tommy Semmy memusnahkan impian skuad negara untuk melakar kemenangan apabila menjaringkan duo gol pada separuh masa pertama.
Kedudukan tersebut kekal sehingga tamat masa perlawanan walaupun pada separuh masa kedua skuad negara cuba bangkit untuk menggegar gawang pasukan lawan, namun usaha mereka tidak berhasil.
Selepas ini, Harimau Malaysia bakal menentang New Caledonia pada 22 Jun nanti sebelum melengkapkan Siri Jelajah Oceania dengan bertemu Fiji pada 26 Jun depan.
SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0618&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4BsaVQKuu Hakcipta terpelihara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan