Ahad, 19 Jun 2016

Tidak akan layan

Firdaus Hashim-firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) bertegas tidak akan tunduk dengan permintaan mana-mana pemainnya untuk berpindah apabila jendela perpindahan dibuka esok hingga 15 Julai depan.

Pengurus Selangor Amirudin Shari berkata larangan berpindah itu merangkumi semua pemain termasuk tonggak pertahanan Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham (gambar) yang terdesak mahu menyarung jersi Johor Darul Ta’zim (Johor DT) musim ini.

Mengambil contoh kelab Liga Perdana Inggeris Manchester United (MU) yang menyekat keinginan bintang bola sepak Portugal, Cristiano Ronaldo untuk menyertai Real Madrid pada 2008, beliau berkata Selangor mungkin meniru pendekatan itu.

Pengurus Red Devils ketika itu, Alex Ferguson hanya melepaskan pemain terbaik dunia itu pada musim berikutnya dan kaedah sama akan diambil FAS bagi menyelesaikan kemelut menyelubungi Azrif.

“Saya boleh katakan Selangor belum bersedia untuk memenuhi permintaan Azrif yang mahu keluar pada pertengahan musim ini kerana pemergiannya boleh mengganggu perancangan pasukan.

“Khidmat dia (Azrif) akan dikekalkan, paling tidak sehingga penghujung musim ini biarpun kontraknya cuma tamat Disember 2017.

“Lihat saja MU, mereka dulu pernah menghalang Ronaldo daripada berpindah walaupun masih memiliki kontrak.

“Jadi rasanya kita boleh menggunakan kaedah sama kerana bagi saya keutamaan ketika ini membentuk pasukan mantap apabila Liga Super bersambung kelak,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Kemelut Azrif bermula apabila pemain berasal dari Kota Damansara itu meluahkan hasrat untuk menyertai Johor DT pada awal musim ini namun ditolak FAS.

Bagaimanapun, ketika liga tempatan memasuki fasa kedua saingan, Azrif sekali lagi menghantar surat permohonan bagi menamatkan kontraknya dan bersedia untuk menebus baki kontrak yang dianggarkan RM720,000.

Namun begitu, seorang pegawai tertinggi FAS membayangkan jumlah penebusan kontrak itu mampu meningkat kepada RM2 juta selepas mengambil kira pelbagai kesan terutama apabila boleh menggugat misi Red Giants memburu kejuaraan Liga Super di samping mempertahankan Piala Malaysia musim ini.
 
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Jun 2016 @ 5:19 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan