Khamis, 9 Jun 2016

Juventus nyaris dimalukan

Ferzalfie Fauzi -ferzalfie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pasukan Bawah 14 tahun (B-14) Program Pembangunan Bolasepak Negara (PPBN) gagal melakar kejutan ke atas kelab Itali, Juventus B-14 apabila tumpas 1-2 pada aksi ketujuh siri jelajah Eropah, awal pagi tadi.

Bagaimanapun, skuad bimbingan Lim Teong Kim itu terlebih dulu berada di depan menerusi jaringan Luqman Hakim Samsudin namun pasukan tuah rumah bangkit menjaringkan gol penyamaan sebelum tamat aksi separuh masa pertama.

Kesilapan pemain B-14 PPBN selepas rehat membolehkan Juventus memperoleh sepakan percuma dalam kotak penalti dan disempurnakan dengan baik pemain tuan rumah.

Menurut Teong Kim, anak buahnya sudah menunjukkan kesungguhan walaupun terpaksa akur dengan kelebihan Juventus yang mempunyai kelebihan dari segi fizikal.

“Saya puji perwatakan pemain yang tetap memberikan cabaran sengit kepada lawan sehingga minit akhir perlawanan,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Jelasnya, aksi bertemu Juventus adalah persiapan terbaik sebelum menyertai Piala Elite di Perancis yang akan berlangsung pada hujung minggu ini.

Sebelum bertemu Juventus, skuad B-14 PPBN mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas FC Lugano dan gol tunggal berkenaan berjaya disumbangkan Ali Imran pada awal separuh masa kedua.


SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Jun 2016 @ 10:21 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan