Selasa, 21 Jun 2016

Tiada rombakan besar

 Semua pemain diberi peluang bukti kemampuan
FADHILUL IZMEL ISHAK  |  21 Jun 2016 12:14 AM

SKUAD Harimau Malaysia baharu tiba di New Caledonia bagi mengharungi satu lagi perlawanan persahabatan kelas A menentang pasukan negara itu, semalam.

KUALA LUMPUR 20 Jun - Pengendali skuad Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee memberi bayangan bahawa dia tidak akan menutup ruang kepada mana-mana pemain untuk diturunkan dalam aksi persahabatan kelas A menentang New Caledonia di Stadium Numa-Daly Magenta, Noumea Rabu ini.
Kim Swee berkata, ruang dan peluang masih diberikan kepada semua pemain untuk mewakili skuad kebangsaan, bagaimanapun pengendali kelahiran dari Melaka itu mengakui dia tidak akan melakukan pertukaran secara besar-besaran seperti mana yang dilakukannya ketika menentang Papua New Guinea (PNG) pada minggu lalu.
“Saya akan meneruskan perancangan dengan memberi ruang buat semua pemain beraksi dalam dua perlawanan terakhir ini, namun pertukaran tidak melibatkan secara besar-besaran bagi memberi peluang buat semua pemain membuktikan kemampuan sebenar mereka,” kata Kim Swee yang ketika ini sudah pun berada di New Caledonia.
Ketika menentang PNG, Kim Swee membuat keputusan memasukkan beberapa pemain bukan kebiasaan dalam kesebelasan utama apabila merehatkan penjaring gol Harimau Malaysia ketika mengalahkan Timor Leste dalam playoff kelayakan Piala Asia 2019, Ahmad Hazwan Bakri.
Turut direhatkan Mohd. Izham Tarmizi, Mohd. Aidil Zafuan Abd Razak, S. Kunanlan, Mohd. Amirulhadi Zainal dan Mohd. Fazly Mazlan. Keputusan itu dibuat selepas Kim Swee mahu melihat kemampuan, kredibiliti serta kesungguhan pemain lain beraksi bersama skuad kebangsaan.
Dalam pada itu, pengendali berusia 45 tahun itu turut mengakui selepas aksi persahabatan yang berkesudahan tewas 2-0 ketika menentang PNG, Kim Swee mengenal pasti beberapa kelemahan yang dilakukan pasukan terutamanya di bahagian tengah.
“Beberapa kelemahan di bahagian tengah yang nampak kurang berkesan, tetapi secara keseluruhan kekuatan kita bukan di tahap sebenar di mana saya percaya kita mampu melakukan dengan lebih baik,” katanya lagi.
Kim Swee berkata, dia tidak berasa sebarang tekanan meskipun gagal mencipta kemenangan pertama dalam siri Jelajah Oceania, malah menegaskan matlamat sebenar skuad kebangsaan masih lagi jauh.
“Tiada tekanan, namun saya perlu tegas di sini yang tujuan sebenar kita masih lagi jauh dan dengan tiga perlawanan yang kita lalui di sini sudah tentu akan memberi manfaat buat seluruh pemain dan pasukan bagi mengharungi persiapan untuk Piala AFF,” katanya lagi.
Tambah Kim Swee, bagi menghadapi New Caledonia kemungkinan besar dia tidak dapat menurunkan dua pertahanan, Mohd. Shahrom Kalam dan Mahali Jasuli selepas kedua-dua pemain tersebut mengalami kecederaan lutut kanan serta lutut kiri sewaktu bertemu PNG.

- Sumber http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/tiada-rombakan-besar-1.345075#sthash.ciK3UXtw.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan