Oleh AHMAD ISYAFIQ MAD. DESA
KHAIR (depan) yang membuat
penampilan sulung dengan skuad negara pada aksi menentang Timor Leste malam
kelmarin turut mencatat nama sebagai penjaring pada perlawanan yang menyaksikan
Malaysia menang 3-0.
MALAYSIA mengesahkan tempat ke
pusingan ketiga kempen kelayakan Piala Asia 2019 selepas mencatat kemenangan
3-0 ke atas Timor Leste pada aksi playoff kedua di Larkin malam kelmarin.
Skuad kendalian Datuk Ong Kim
Swee itu mara dengan kelebihan agregat 6-0 selepas mencatat kemenangan dengan
jumlah jaringan sama pada aksi pertama di venue yang sama, Khamis lalu.
Di sebalik kemenangan tersebut,
Kim Swee bertekad untuk melakukan beberapa perubahan dalam skuad kendaliannya
itu.
Beliau mahu setiap pemain dalam
skuad negara tampil lebih ‘versatile’ dan mampu beraksi di semua posisi.
Menurut Kim Swee, ia akan
memudahkannya mengubah taktikal permainan pada bila-bila masa walaupun ketika
sesuatu perlawanan itu sedang berlangsung.
“Saya tidak gentar menukar
posisi pemain dan akan terus melakukan formula itu dalam usaha untuk
memperkuatkan skuad negara.
“Kita mahukan pemain boleh
beraksi di setiap posisi. Kita tidak boleh bergantung pada pemain di posisi
yang sama dalam setiap perlawanan kerana sukar untuk kita menjangka apa yang
akan berlaku.
“Kita perlu mempunyai barisan
pertahanan yang kuat dan pada masa yang sama mereka juga bertindak sebagai
penyerang yang mampu menghasilkan jaringan,” kata Kim Swee ketika ditemui
selepas berakhirnya perlawanan playoff kedua itu di Larkin malam kelmarin.
Mengulas kejayaan Malaysia
membenam Timor Leste, Kim Swee belum mahu mendabik dada, sebaliknya
mengingatkan para pemain untuk terus meningkatkan prestasi kerana cabaran yang
lebih besar bakal menanti mereka selepas ini.
“Ia satu prestasi yang baik
dalam dua perlawanan kerana kita berjaya menjaringkan enam gol dan itu
membuktikan skuad negara masih mempunyai penyudah yang berbisa.
“Bagaimanapun, kita tidak boleh
berpuas hati kerana selepas ini lebih banyak perlawanan yang menguji skuad
negara,” tegasnya.
Pada perlawanan malam kelmarin,
gol-gol skuad negara diperoleh menerusi Khair Jones pada minit ke-15, Ahmad
Hazwan Bakri (m-57) dan S. Chanturu (m-67).
Pusingan kelayakan ketiga
kempen Piala Asia 2019 dijangka berlangsung pada 28 Mac tahun depan.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0608&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4Ayg4fIDf
Hakcipta terpelihara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan