Sabtu, 25 Jun 2016

Kim Swee tagih aksi terbaik

Fiji dijangka turunkan skuad Olimpik yang beraksi di Rio
FADHILUL IZMEL ISHAK  |  25 Jun 2016 12:19 AM
PEMAIN Malaysia gigih berlatih sebagai persiapan bagi mengharungi
PEMAIN Malaysia gigih berlatih sebagai persiapan bagi mengharungi perlawanan persahabatan menentang Fiji, Ahad ini.
KUALA LUMPUR 24 Jun - Pengendali Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee mengakui dia menjangkakan aksi sengit bakal dipamerkan oleh Fiji apabila kedua-dua pasukan tersebut bertemu dalam perlawanan persahabatan kelas A di Stadium Prince Charles Park, Nada, Ahad ini.
Kim Swee berkata, selain beraksi di bawah cuaca panas serta keadaan padang tidak begitu baik, Fiji menurunkan sebahagian besar pemain bawah 23 sebagai persiapan mereka menghadapi Sukan Olimpik Rio pada Ogos ini.
“Perlawanan menentang Fiji sudah tentu menjadi lebih sengit membuatkan pemain mahu meneruskan corak permainan yang lebih baik daripada dua aksi persahabatan sebelum ini. Kekuatan Fiji tidak banyak beza antara Papua New Guinea serta New Caledonia.
“Cabaran yang perlu dilalui oleh pemain menjelang pertemuan nanti adalah pertama, kita harus bermain dengan pasukan yang cukup bagus. Kedua, keadaan cuaca yang agak panas kerana kita bermain pada pukul 2 petang (waktu Fiji) dan seterusnya keadaan fasiliti padang tidak begitu baik.
“Kita tahu Fiji layak ke Sukan Olimpik 2016. Selain daripada menurunkan skuad Olimpik, saya juga difahamkan Fiji menurunkan sebahagian pemain daripada skuad kebangsaan di mana mereka mahu memilih tiga pemain lebih umur untuk diserap masuk ke dalam skuad Olimpik,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Biarpun berdepan dengan sebahagian besar pemain Bawah 23, namun Kim Swee tetap tidak mengambil mudah lawan yang bakal mereka tentang nanti.
“Ya (saya tidak akan memandang mudah). Sudah tentu mereka ingin membuktikan sesuatu di mana mereka akan ke Olimpik dan ini akan menyukarkan kami pada hari perlawanan nanti,” ujarnya.
Fiji mara buat kali pertama ke temasya Rio bagi slot Oceania yang sebelum ini dikuasai Australia dan New Zealand, selepas skuad kendalian Frank Farina itu menewaskan Vanuatu 4-3 menerusi penalti dalam final kelayakan Olimpik Oceania di Port Moresby, Papua New Guinea pada 12 Julai tahun lalu.
Dalam pada itu, Kim Swee memberitahu, dia berdepan dengan tiga masalah kecederaan selepas Mohd. Shahrom Kalam masih lagi mengalami sakit lutut, sementara Abdul Latiff Suhaimi berdepan kecederaan Achilles Tendon dan terbaharu, Mohd. Zaquan Aidil Adha Abdul Razak yang ditimpa masalah di pergelangan tangan.
“Masih lagi cedera ialah Shahrom, manakala Latiff kita harus bagi peluang sehari lagi untuk menentukan sama ada dia boleh bermain atau pun tidak dan terkini Zaquan yang mengalami kecederaan di pergelangan tangan,” katanya.
Berdasarkan rekod pertemuan, Fiji pernah menjadi tuan rumah kepada Malaysia dalam tiga siri perlawanan pada 2001. Fiji tewas 2-1 kepada Malaysia pada aksi pertama di Ba sebelum mencatat dua kemenangan seterusnya 2-0 di Suva dan 4-1 di Lautoka.

- Sumber: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/kim-swee-tagih-aksi-terbaik-1.346619#sthash.bkwXv5c6.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan