Rabu, 8 Jun 2016

Bukan bukti Harimau Malaysia sudah kuat

MOHAMAD FAIZAL HASHIM  |  08 Jun 2016 12:03 AM
PEMAIN Malaysia, Khair Jones (tengah) diserbu rakan sepasukannya
PEMAIN Malaysia, Khair Jones (tengah) diserbu rakan sepasukannya selepas menjaringkan gol pertama Malaysia dalam perlawanan playoff kedua kelayakan Piala Asia 2019 menentang Timor Leste di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Johor Bahru semalam. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
JOHOR BAHRU 7 Jun - Ketua jurulatih Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee mengingatkan skuad kebangsaan agar tidak dibuai kemenangan selesa 3-0 ke atas Timor Leste dalam kedua-dua aksi playoff kelayakan Piala Asia 2019.
Katanya, kemenangan tersebut menunjukkan prestasi pasukan Malaysia kini semakin bertambah baik namun keputusan itu tidak boleh dijadikan ukuran bahawa Harimau Malaysia kini sebuah pasukan yang kuat kerana perjalanan mereka masih lagi jauh untuk ke pusingan akhir.
Menurutnya, cabaran getir yang menanti untuk menguji kemampuan sebenar kekuatan Harimau Malaysia ialah dalam kejohanan Piala AFF dan peringkat kumpulan kelayakan Piala Asia.
“Perkara positif yang boleh ambil dalam perlawanan ini adalah jentera serangan berjaya mendapatkan enam gol dan membuktikan kita masih lagi ada penyudah berbisa.
“Namun kejayaan ini tidak boleh dijadikan satu kepuasan kerana kita perlu bergerak lebih jauh daripada ini. Skuad kebangsaan ini masih belum sempurna dan banyak perkara lagi yang perlu dipelajari untuk menjadi lebih baik pada masa akan datang
“Saya lihat inilah barisan pemain utama skuad kebangsaan buat masa ini. Saya juga akan memberikan peluang kepada pemain lain beraksi dengan harapan mereka dapat membuktikan keupayaan diri untuk dijadikan pemain sandaran sekali gus memberi pilihan dalam pasukan,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Dalam pada itu, jurulatih berusia 45 tahun itu turut mempertahankan strateginya yang mengubah posisi kebiasaan pemain apabila menyarung jersi kebangsaan.
Dalam perlawanan kedua menentang Timor Leste semalam, Kim Swee meletakkan Khair Jones dan Mohd. Azrif Nasrulhaq di sayap kiri dan kanan, berbeza dengan posisi mereka ketika bersama kelab masing-masing iaitu bek kanan dan kiri.
“Saya suka menukar posisi pemain ini kerana memberi impak positif kepada gaya pertahanan yang saya terapkan. Saya mahukan pemain sayap yang versatil (iaitu) bukan sahaja mampu menyerang malah dapat bertahan dengan baik dan saya akan terus menggunakan taktikal seperti ini.
“Walaupun Khair tidak begitu serasi di sayap kiri, tetapi dia memainkan peranan cukup penting dan menghasilkan satu gol. Ini menunjukkan dia faham apa yang perlu dilakukan walaupun tidak mempunyai kelajuan se­perti S. Chanturu ataupun Azriff,” katanya.

- SUMBER http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/bukan-bukti-harimau-malaysia-sudah-kuat-1.339794#sthash.vYvUkiSO.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan