Khamis, 30 Jun 2016

Menang tetapi tiada mata?

30 Jun 2016 12:27 AM
TONGGAK Malaysia, Baddrol Bakhtiar menjaringkan gol kemenangan
TONGGAK Malaysia, Baddrol Bakhtiar menjaringkan gol kemenangan skuad kebangsaan dalam perlawanan persahabatan menentang New Caledonia di New Caledonia, baru-baru ini. IHSAN FAM
KUALA KUMPUR 29 Jun – Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin mengakui, status perlawanan menentang New Caledonia pada 22 Jun lalu masih belum dapat dipastikan sama ada dikira atau tidak dalam mata ranking dunia.
Keputusan perlawanan yang berkesudahan Harimau Malaysia menang 2-1 itu tidak dikemas kini dalam laman web rasmi Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA), sedangkan dua lagi aksi persahabatan yang dilalui skuad negara pada siri Jelajah Oceania iaitu menentang Papua New Guinea dan Fiji diambil kira.
Situasi itu menimbulkan persoalan dalam kalangan peminat bola sepak negara, yang menganggap ia perlawanan yang sia-sia, apatah lagi itu satu-satunya kemenangan yang dicatat Harimau Malaysia sepanjang hampir dua minggu menjelajah Oceania.
Hamidin berkata, beliau tidak boleh membuat sebarang kenyataan mengenai status perlawanan tersebut sebaliknya perlu menunggu kata putus daripada badan induk bola sepak dunia serta pihak lawan terlebih dahulu.
“Saya tidak pasti apa masalah tentang status perlawanan tersebut sebab sebelum ia berlangsung, kami terlebih dahulu mendapatkan surat pengesahan daripada FIFA dan AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) mengatakan pertemuan tersebut adalah kelas A dan ada dalam sistem kiraan ranking.
“Itu prosedur biasa sebelum mengadakan aksi persahabatan kelas A. Kami juga sudah memenuhi segala keperluan untuk mengadakan perlawanan persahabatan tersebut. Saya bimbang mungkin ada masalah daripada pihak New Caledonia.
“Bagaimanapun saya tidak mahu membuat sebarang spekulasi. Buat masa sekarang FAM sedang mendapatkan maklum balas daripada FIFA dan New Caledonia. Sebaik sahaja kami mendapat maklum balas tersebut kami akan membuat kenyataan media,” kata Hamidin yang juga pengurus pasukan Harimau Malaysia di sini, hari ini.
Sebelum ini, skuad Harimau Malaysia melakukan Jelajah Oceania dalam usaha mereka meningkatkan ranking dengan mengadakan tiga aksi persahabatan kelas A. Pasukan kebangsaan mencatat satu kemenangan, satu seri dan satu kekalahan dalam siri jelajah tersebut.
Selain menumpaskan New Caledonia, Harimau Malaysia tumpas 0-2 kepada Papua New Guinea pada 17 Jun dan seri 1-1 ketika menentang Fiji (26 Jun).

- Sumber: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/menang-tetapi-tiada-mata-1.348423#sthash.jTPM3zlJ.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan