Sabtu, 2 Julai 2016

Sah Harimau Malaysia kempunan mata

02 Julai 2016 12:20 AM
KEBELASAN utama skuad Harimau Malaysia yang beraksi menentang
KEBELASAN utama skuad Harimau Malaysia yang beraksi menentang New Caledonia di Stadium Numa Daly, Noumea, New Caledonia, pada 22 Jun lalu.
KUALA LUMPUR 1 Julai – Kegagalan Persekutuan Bolasepak New Caledonia (FCF) menepati syarat menyenaraikan dua pembantu pengadil dari senarai terkini pengadil antarabangsa yang diiktiraf FIFA menjadi punca kemenangan Harimau Malaysia ke atas pasukan negara itu tidak mendapat sebarang mata.
Ini bermakna kemenangan tunggal 2-1 yang diraih Malaysia ke atas New Caledonia di Stadium Numa Daly, Noumea, 22 Jun lalu sia-sia kerana ia tidak dapat membantu skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee memperbaiki ranking dunia mereka.
Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, pada asalnya perlawanan itu sememangnya berstatus ‘A’, namun disebabkan tuan rumah melakukan kesilapan teknikal, maka status tersebut ditarik balik oleh FIFA.
“Kesilapan berkenaan ber­kaitan dengan Artikel 10.1 dalam ‘FIFA Regulations Governing International Matches’ yang menyatakan tuan rumah perlu memastikan pengadil dan pembantu pengadil yang ditugaskan untuk perlawanan berstatus “A” mestilah dalam kalangan mereka yang berada pada senarai terkini FIFA.
“Namun, untuk perlawanan New Caledonia bertemu Malaysia, FCF telah melantik pengadil dari senarai FIFA, tetapi nama dua pembantunya tiada dalam senarai FIFA 2016.
“Situasi itu menyebabkan keputusan perlawanan yang berkesudahan Malaysia menang tidak dipaparkan di laman web FIFA, sekali gus ia tidak dikira untuk pungutan mata bagi ranking FIFA yang akan dikemas kini pada 14 Julai ini,” kata Hamidin menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan FAM di sini, hari ini.
Beliau menegaskan, apa yang berlaku ini bukan kesilapan daripada FAM kerana pihaknya telah pun mengikut segala prosedur ditetapkan FIFA dalam memohon untuk perlawanan berstatus ‘A’.
“FAM pada 31 Mei telah pun mengisi borang permohonan untuk perlawanan persahabatan antarabangsa ‘A’ bagi ketiga-tiga pertemuan dalam siri Jelajah Oceania antara Malaysia bertemu Papua New Guinea, New Caledonia dan Fiji.
“Pada 10 Jun, FAM terima surat penerimaan borang permohonan daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan pada tarikh sama juga, FCF turut menerima surat kebenaran mengenai perlawanan persahabatan itu daripada Konfederasi Bolasepak Oceania (OFC),” ujarnya.

- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/sah-harimau-malaysia-kempunan-mata-1.349029#sthash.ZKs24MUi.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan