ARKIB : 05/04/1998
KELEBIHAN bermain di gelanggang
sendiri kali ini tidak memihak kepada Olimpik 2000 apabila seri 0-0 dengan
Brunei pada perlawanan pembukaan bola sepak Perdana Satu di Stadium Merdeka,
malam tadi, lapor AMRAN MULUP.
Keputusan itu meneruskan episod
malang Olimpik yang tewas pada dua perlawanan di gelanggang sendiri kepada
Pulau Pinang dan Melaka dengan 1-0 pada pusingan kelayakan ke Perdana Satu,
bulan lepas
Namun, perlawanan malam tadi
sepatutnya menjadi milik mutlak Olimpik tetapi nasib sahaja tidak memihak
dengan empat peluang yang pastinya menggegar gawang lawan.
Chow Chee Weng terlepas dua
peluang pada minit ke-49 dan 57 manakala setiap satu menerusi Azmir Nor Hakim
Burhan (19) dan Hairun Haled Masrom (70).
Bagaimanapun, perlawanan
dicemari aksi kasar pemain Brunei ke atas Olimpik sehingga memaksa pemain
pertahanan, Yuzaiman Zahari diusung keluar padang akibat kecederaan di hidung.
Brunei memulakan rentak dengan
garang tetapi penjaga gol Olimpik, Jamsari Sabian bijak menangkap kemas
tandukan kencang Mohd. Brian Bothwell Abdullah mini ke-7 dan Rafael Patron
Akapo (12).
Pada minit ke-19, tuan rumah
bangkit cuba mengimbangi lawan, namun Azmir terlepas peluang terbaik mencipta
jaringan awal.
Bermula dengan tipu helah ke
atas Suni Mat Jerah, Azmir tangkas berlari berseorangan tetapi dia gopoh bila
melakukan sepakan liar ke gawang lawan.
Pada minit ke-27, Gilbert
Cassedy nyaris-nyaris meletakkan Olimpik di depan apabila sepakan percumanya
dari luar kotak penalti sekadar menyinggahi palang gol.
Empat minit selepas babak kedua
bermula Olimpik 2000 sekali lagi dihampakan dengan sepakan lemah Chow Chee Weng
mudah ke dakapan Mohamad Yunus selepas mendapat umpanan cantik Azmir.
Chee Weng hampa buat kali kedua
pada minit ke-57 biarpun berjaya melepasi kawalan Zannoun Farouk Al-Hassan
tetapi dia melakukan rembatan liar melewati palang gol.
Pada minit ke-66, kesilapan
pemain pertahanan S. Jayaprakash gagal menanduk kemas bola hantaran ke belakang
nyaris membawa padah tetapi lega kegopohan penyerang veteran pelawat, Rosanan
Samak menyepak liar dalam keadaan pintu gol tidak dikawal.
OLIMPIK 2000: Jamsari Sabian,
Nik Ahmad Fadly Nik Leh, Johnny Joseph, Chia Ching Kar, S. Jayaprakash, Azmir
Nor Hakim, Chow Chee Weng (Hairuddin Omar), Lim Chan Yew, Gilbert Cassedy (M.
Gopalan), Tengku Hazman Raja Hassan, Yuzaiman Zahari (Hairun Haled Masrom).
BRUNEI: Mohamad Yunus Yusof,
Martilu Mohamad (Awangku Sallehuddin), Rosli Liman, Liew Chuan Yew, Md Brian
Abdullah Bothwell, Azmanuddin Gillen, Rosanan Samak (Johan Jinin), Rafael
Patron Akapo, Suni Mat Jerah (Nordin Tujoh), Irwan Mohamad, Zannoun Farouk
Al-Hassan.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0405&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4FrTFU5r6
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan