Khamis, 14 Julai 2016

Kim Swee terkejut

 
KELMARIN, arena bola sepak negara dikejutkan dengan keputusan dua tonggak utama skuad kebangsaan yang beraksi bersama pasukan Johor Darul Takzim (Johor DT), Aidil Zafuan Abdul Radzak dan Safiq Rahim untuk bersara daripada aksi di pentas antarabangsa.

Difahamkan, mereka mengambil keputusan tersebut bagi memberi laluan kepada pemain-pemain muda untuk menyarung jersi skuad Harimau Malaysia.

Ketua jurulatih skuad negara, Datuk Ong Kim Swee nyata terkejut dengan pengumuman yang dibuat dua pemain itu, namun beliau percaya Aidil dan Safiq memiliki alasan tersendiri mengapa mereka membuat keputusan tersebut.

“Sudah tentu saya sangat terkejut dengan pengumuman yang dibuat oleh dua pemain tersebut pada lewat petang semalam (kelmarin). Bagaimanapun, saya percaya mereka sudah memikirkan semasak-masaknya sebelum keputusan dibuat.

“Tidak dinafikan, ia merupakan satu kerugian besar buat skuad negara, namun sekiranya mereka benar-benar serius dengan keputusan ini, kita harus menghormati keputusan yang dibuat oleh mereka kerana mereka mungkin sudah berbincang dengan keluarga masing-masing,” kata Kim Swee semalam.

Justeru, pengendali kelahiran Melaka itu memiliki tugas baharu bagi mencari pemain yang sesuai untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan dua pemain tersebut memandangkan saingan Liga Malaysia kembali bersambung semalam.

“Mungkin ia merupakan keputusan peribadi mereka dan kita perlu menghormatinya. Oleh itu, kita harus mula memikirkan mengenai siapakah pemain yang mampu menggantikan mereka. Jadi, kita akan membuat penilaian pada baki saingan Liga Super serta Piala Malaysia.

“Apa yang penting sekarang ialah kita perlu mencari pengganti yang sesuai untuk disenaraikan dalam skuad negara, sekali gus membantu Harimau Malaysia dalam tugasan-tugasan antarabangsa pada masa akan datang,” tambahnya.

Sementara itu, Kim Swee menegaskan, pintu skuad negara sentiasa terbuka untuk mereka sekiranya berhasrat kembali menyarung jersi kebangsaan, namun perlu menjalani penilaian semula berdasarkan prestasi semasa.

Kelmarin, Aidil mengambil keputusan untuk menggantung but pada aksi antarabangsa selepas merekodkan 68 penampilan bersama Harimau Malaysia sejak 2007.

Ketika bersama skuad negara, pemain berusia 29 tahun itu membantu pasukan untuk memenangi pingat emas pada Sukan SEA 2009 selain turut bersama Malaysia pada aksi kelayakan Piala Belia Bawah 20 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2004 serta kelayakan Sukan Olimpik 2008.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0714&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4EKxGh300 Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan