Jumaat, 29 Julai 2016

Indra sedia kerah kudrat demi Harimau Malaysia

 Kuala Lumpur: Ketua pasukan Kelantan Indra Putra Mahayuddin sedia menyahut seruan pasukan Harimau Malaysia seandainya khidmatnya ditagih pengendali negara Datuk Ong Kim Swee susulan persaraan empat tonggak utama Johor Darul Ta’zim (Johor DT) minggu lalu.

Ketika usianya bakal menjangkau 35 tahun pada 2 September ini, Indra dilihat begitu bersemangat untuk membantu skuad kebangsaan dengan tonggak yang sarat pengalaman itu mahu menjadikan pentas Piala AFF kali ini sebagai penampilan terakhir bersama negara.

“Jika diberi peluang jurulatih (Kim Swee) saya pasti akan melakukan yang terbaik kerana anggap ia panggilan harus disahut.


“Mungkin saingan AFF ini berpotensi menjadi kejohanan yang terakhir sebelum memikirkan sebarang kemungkinan bersara daripada pasukan kebangsaan.

“Namun buat masa sekarang, saya sentiasa terbuka kerana selagi masih ada kudrat, saya bersedia berjuang demi tanah air tercinta dan berkhidmat bersama pasukan negara,” katanya yang turut beraksi pada Piala AFF 2014 yang menyaksikan pasukan negara mara ke perlawanan akhir namun terpaksa akur kepada kehebatan anak buah Kiatisuk Senamuang apabila tewas 3-4 secara agregat.

Malah, dalam aksi final dua tahun lalu itu juga menyaksikan pemain kelahiran Ipoh, Perak itu berjaya menyumbangkan satu gol menerusi tandukan kemas sekali gus menggembirakan ribuan penyokong negara di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai persaraan empat pemain Johor DT daripada pentas antarabangsa hingga menimbulkan pelbagai kontroversi, dia menjawab: “Itu pilihan mereka.

“Saya tidak mahu mengulas lanjut, tapi apa yang mereka buat kita kena terima dan hormati.”

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Julai 2016 @ 6:42 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan