ARKIB : 23/03/1998
MASALAH ketumpulan barisan
serangan mula meresahkan jurulatih skuad Olimpik 2000, Hatem Souissi menjelang
pertemuan separuh akhir pusingan pertama menentang Johor di Larkin, malam esok.
Hatem tidak menolak kelemahan
di posisi itu semakin ketara sewaktu pasukannya tewas 0-1 kepada Melaka
kelmarin.
Sekalipun menguasai pentas
saingan berbanding lawan namun tindakan penyudah menerusi gandingan Hairuddin
Omar dan Chow Chee Weng jelas menggagalkan segala usaha mencari gol penyamaan.
''Pada 15 minit awal pemain
saya tenggelam dengan gol pendahuluan Melaka namun pada babak kedua kita banyak
mencipta peluang.
''Melaka mendapat satu peluang
dan berjaya menjaringkan gol sedangkan pasukan saya mencipta banyak peluang
pada babak kedua tetapi digagalkan dengan tindakan penyudah yang kurang
berkesan,'' kata Hatem.
Biarpun menurunkan Chan Wing
Hoong dan Yuzaiman Zahari pada babak kedua bagi membantu barisan serangan namun
segalanya turut dihampakan dengan percubaan liar yang tidak menepati sasaran.
Yang jelas, jurulatih dari
Tunisia itu tidak mempunyai banyak pilihan selepas menggantung dua penyerang
utama Muhamad Khalid Jamlus dan V. Saravanan.
Namun bagi Hatem tempoh dua
hari menjelang pertemuan esok masih membolehkan dia mencatur strategi terbaik
bagi memperkukuhkan kembali jentera serangan.
Mengulas mengenai pertemuan
dengan Johor esok, Hatem tetap yakin sesuatu dapat dilakukan oleh pemainnya
untuk menyekat Johor daripada mengutip kemenangan pertama.
''Yang saya harapkan pemain
saya dapat bekerja keras sebagai sebuah pasukan tanpa mempedulikan kekuatan
sebenar Johor,'' katanya.
Menurutnya, biarpun atas kertas
Johor disifatkan sebagai pasukan yang cukup matang dan berpengalaman tetapi
tempoh 90 minit akan menjadi penentu.
Tambahnya, pemainnya semakin
menunjukkan peningkatan selepas mengharungi empat perlawanan di pusingan
kelayakan.
Ini sekaligus mencetuskan rasa
yakin Hatem kemampuan anak buahnya mampu memberikan saingan kepada pemain Johor
biarpun bertandang di tempat lawan.
''Johor memang pasukan yang
cukup matang dan berpengalaman berbanding pasukan saya tetapi ini tidak menghalang
bagi mereka mempamerkan aksi paling menarik,'' katanya.
Kekalahan kelmarin adalah bagi
kali kedua di gelanggang sendiri dialami oleh Olimpik 2000 selepas mencatat dua
kemenangan di tempat lawan ke atas Pulau Pinang (1-0) dan Melaka (1-0).
Skuad Olimpik sekadar mengutip
enam mata untuk muncul naib juara di belakang naib juara Piala FA tahun lalu,
Pulau Pinang selaku juara Kumpulan A dengan sembilan mata.
Johor pula muncul juara
Kumpulan B dengan tujuh mata selepas saingan terdekat Kelantan tewas 1-2 kepada
jiran Terengganu kelmarin.
Dalam perlawanan separuh akhir
yang lain Pulau Pinang akan menanti kunjungan Kelantan di gelanggang sendiri
malam esok.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0323&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4FmX9hcRn
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan