ARKIB : 03/04/1998
SELEPAS menyingkirkan Johor,
kini skuad Olimpik 2000 mengidam mahu meneruskan persembahan cemerlang apabila
menanti kunjungan Brunei dalam kempen pertama Perdana Satu di Stadium Merdeka
malam esok, lapor AMRAN MULUP.
Berbekalkan kejayaan di
pusingan kelayakan, Olimpik mahu memahatkan satu lagi episod paling menarik
dengan memburu kemenangan pertama ke atas Brunei.
Walaupun menghormati lawan yang
memiliki segala kelebihan, ini tidak bermakna pelawat bakal memperolehi
kemenangan mudah membawa pulang tiga mata penuh.
Berdasarkan prestasi ketika
mengharungi pusingan kelayakan Hatem Souissi membayangkan anak buahnya mampu
mengimbangi setiap kekuatan yang ada pada Brunei.
Hatem jelas tidak membayangkan
rasa gusar kelibat anak didiknya bakal menjadi mangsa buruan Brunei yang
mengidam mahu memahat kemenangan awal.
''Brunei sebuah pasukan yang
kuat dan memiliki segala kelebihan tetapi ini tidak bermakna laluan mudah bakal
dilalui.
''Lagipun pemain saya sudah
bersedia berdepan apa jua rintangan dalam Perdana Satu. Prestasi pemain saya
pula semakin menunjukkan peningkatan,'' ujar Hatem.
Beliau melihat satu persatu
pemain yang menjadi kekuatan Brunei khususnya trio import selain keupayaan
lawan mara hingga ke separuh akhir Piala Malaysia sebelum disekat oleh Pahang
musim lalu.
Hatem menjelaskan betapa
halangan getir untuk melepasi halangan pusingan kelayakan ke Perdana Satu
dilepasi, hanya kempen Perdana Satu buat menimba pengalaman selain mematangkan
pemain.
''Pemain saya sudah membuktikan
kemampuan sebenar mereka dan saya tidak begitu gusar berdepan dengan lawan yang
lebih sengit dalam Perdana Satu.
''Dan berdepan dengan Brunei
mereka sudah bersedia untuk memberikan persembahan terbaik,'' katanya.
Biarpun tanpa tiga pemain utama
Muhamad Khalid Jamlus, V. Saravanan dan M. Elanggo yang digantung sebulan,
Hatem jelas tidak merasakan tempang khususnya di bahagian serangan.
Katanya, sandaran ke atas Azmir
Nor Hakim Burhan bergandingan dengan Chow Chee Weng mampu mengembalikan
kekuatan jentera serangan.
''Saya yakin dengan kewibawan
Azmir. Dia mampu melaksanakan tugas dengan baik,'' kata Hatem.
Azmir menjadi hero membenam
Johor dengan dua gol satu darinya membantu kemenangan tipis 1-0 di Larkin dan
keputusan seri 1-1 di Stadium Merdeka buat Olimpik layak ke Perdana Satu.
Dengan perkhabaran gembira
tiada seorangpun pemain ditimpa kecederaan, Hatem dijangka membariskan tenaga
utama melayani kehebatan Brunei.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0403&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_08.htm#ixzz4FrH3LLQk
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan