Sabtu, 23 Julai 2016

Pemain Malaysia bebas ke Brunei

ARKIB : 11/01/1998
 
DOLLAH SALLEH.

PEMAIN Malaysia yang berhasrat bermain untuk Brunei dalam pertandingan Liga Perdana Satu musim ini tidak akan dianggap sebagai pemain asing.

Setiausaha agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Paul Mony Samuel berkata dengan peraturan baru itu, pemain Malaysia tidak akan terbabit dengan peraturan kuota tiga pemain asing kerana mereka dianggap sebagai pemain tempatan.

''Kami mahu para pemain kita bermain dengan pasukan luar yang menyertai liga kita. Tiada sekatan dikenakan terhadap Brunei untuk mengambil pemain dari Malaysia,'' kata beliau kepada pemberita di sini selepas majlis taklimat untuk pasukan-pasukan Liga M di Kelana Jaya, semalam.

Adalah difahamkan bahawa Brunei berminat dengan beberapa pemain dari Semananjung, termasuk bekas pemain kebangsaan Dollah Salleh yang kini masih belum terikat dengan sebarang pasukan.

Mengenai musim baru yang akan bermula Mac ini, Mony berkata pertandingan kelayakan bagi memilih dua lagi pasukan yang layak untuk menyertai liga Perdana Satu akan berlangsung dari 8 hingga 21 Mac tetapi tuan rumah untuk pertandingan itu masih belum ditentukan.

Liga Perdana yang sedia ada akan dibahagikan kepada dua bahagian, dengan 12 pasukan dalam Liga Perdana Satu dan lapan lagi di Liga Perdana Dua.

Sepuluh pasukan yang bermain dalam pertandingan Piala Malaysia tahun lepas layak secara automatik ke Perdana Satu manakala lima pasukan tercorot dalam Liga Perdana 1997 _ Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Johor dan Melaka akan bersaing untuk dua lagi tempat bersama-sama pasukan Olimpik.

Empat lagi pasukan untuk Perdana Dua ialah Polis, Angkatan Tentera, Negeri Sembilan Chempaka dan PKN Johor. Juara Piala Malaysia Selangor akan bertemu juara Liga Sarawak dalam perlawanan Piala Sumbangsih pada 28 Mac.

Mony berkata, enam pasukan terbabit akan dibahagikan kepada dua kumpulan dan mereka akan bermain mengikut format liga. Dua pasukan teratas setiap kumpulan akan menentang satu sama lain dengan juara dan naib juara akan dinaikkan ke Perdana Satu.

Perdana Satu dan Dua akan bermula pada 4 April dengan pertandingan Piala Malaysia akan bermula pada 25 Sept. Perlawanan akhir akan diadakan pada 28 Nov.

Mony berkata setiap pasukan boleh mendaftarkan 25 pemain, dengan 12 pemain profesional untuk pasukan Perdana Satu dan enam untuk Perdana Dua. Tarikh tutup untuk pendaftaran pemain ialah 28 Feb.

Mengenai cadangan supaya perlawanan-perlawanan Piala Presiden diadakan sebelum perlawanan Liga Perdana, Mony berkata tidak semua persatuan negeri bersetuju dengan cadangan itu. FAM berpendapat ia akan dapat menjimatkan kos manakala sesetengah persatuan negeri pula bimbang ia akan menjejaskan keadaan padang.

Mengenai kedudukan Persatuan Bola Sepak Sabah (FAS) ekoran penyingkirannya daripada Majlis Sukan Sabah, Mony berkata bahawa FAM dimaklumkan oleh para pegawai Sabah bahawa mereka sedang mengambil langkah-langkah untuk mengatasi masalah itu.

Mony juga berkata gelanggang untuk pasukan Olimpik terpaksa diubah daripada Stadium Kelana Jaya kerana ia sedang dinaikkan taraf untuk Sukan Komanwel.

Mony berkata terdapat cadangan supaya sistem mata penalti dimansuhkan pada musim ini dan menambah bahawa FAM mungkin menggantikannya dengan sistem lama iaitu hukuman penggantungan satu perlawanan untuk setiap dua kad kuning yang dikutip.

Beliau juga berkata jika Malaysia memutuskan untuk tidak menghantar pasukan bola sepak ke Sukan Asia tahun ini, satu kejohanan antarabangsa, mungkin Kejohanan Piala Merdeka akan dilangsungkan Disember ini untuk mengucapkan ''selamat tinggal'' kepada Stadium Merdeka. _ Bernama.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0111&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4FEBn8xke © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan