ARKIB : 15/02/1998
SELEPAS tersisih menggalas
cabaran pada Kejohanan Belia Dunia Jun tahun lalu akibat keretakan di bahagian
lutut, penyerang utama skuad Olimpik 2000, Khalid Jamlus kini sudah bersedia
membuktikan kehebatan sebenar dirinya, lapor AMRAN MULUP.
Enam gol yang dicipta oleh
Khalid sewaktu dia kembali semula beraksi dengan Skuad Olimpik September lalu
meletakkan dirinya antara pemain yang perlu diawasi lawan apabila mengharungi
pusingan kelayakan Liga Malaysia, 3 Mac ini.
Dua gol dicipta oleh ayam
tambatan Perak itu pada Kejohanan Jemputan Antarabangsa Haiphong, Vietnam
selain kunjungan ke Australia dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) Disember lalu,
menjelaskan betapa kehadirannya melegakan jurulatih Hatem Souissi.
Sejak September tahun lalu,
Khalid tidak pernah tersisih dalam kesebelasan utama menjurus dirinya menjadi
sandaran utama untuk membolosi gawang lawan.
Buat Khalid, dia sedar betapa
tugas berat yang sedang menantinya dengan ujian sebenar buat Skuad Olimpik
diletakan dalam Kumpulan A bersama-sama naib juara Piala FA tahun lalu, Pulau
Pinang dan Melaka dalam pusingan kelayakan bulan depan.
''Saya sudah cukup bersedia
kali ini untuk membantu skuad Olimpik layak ke Perdana Satu. Sekalipun saya
sedar akan berdepan dengan lawan yang lebih berpengalaman tetapi ini sama
sekali tidak menakutkan saya,'' ujar Khalid.
Sebaliknya dia menyifatkan
penampilan Skuad Olimpik dalam kancah saingan Liga Malaysia musim ini menjadi
pentas untuk membuktikan kehebatan sebenar memikul tugas selaku penggempur.
Semalam Khalid turut menyumbang
satu daripada dua gol kemenangan Skuad Olimpik menewaskan pasukan Liga Simpanan
Selangor 2-0 dalam perlawanan persahabatan di padang Wisma FAM, Kelana Jaya
petang semalam. Satu gol lagi dijaringkan oleh M. Elanggo. Kedua-dua gol
dicipta pada babak pertama.
Menurutnya, skuad Olimpik sudah
cukup bersedia untuk mengharungi cabaran sengit pada pusingan kelayakan.
''Saya tidak berani meramalkan
peluang untuk layak ke Perdana Satu tetapi yang pasti kita akan memberikan
persembahan terbaik,'' katanya lagi.
Hatem terpikat dengan aksi
Khalid sewaktu pemain berusia 21 tahun itu menyarung jersi Perak pada Liga
Malaysia 1996.
Bagaimanapun, hajat Khalid
untuk beraksi dalam Kejohanan Piala Belia Dunia tidak kesampaian akibat
kecederaan yang menimpanya sewaktu skuad remaja negara mengadakan sesi latihan
di Perancis.
Selepas ini Skuad Olimpik akan
mengharungi dua lagi perlawanan persahabatan menentang kelab profesional Pogon
dan Selangor minggu depan.
Dalam persaingan pusingan
kelayakan nanti, skuad Olimpik akan memulakan cabaran awal menentang Pulau
Pinang di tempat lawan sebelum menanti kunjungan Melaka.
Pada pusingan kelayakan yang
lain menyaksikan Terengganu, Kelantan dan Johor diletakan dalam Kumpulan B.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0215&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4FVURZ1x5
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan