Jumaat, 29 Julai 2016

Olimpik 2000 belum mampu pergi jauh

ARKIB : 30/03/1998
KEJAYAAN skuad Olimpik 2000 melayakkan diri ke Perdana Satu memberi nafas lega kepada jurulatihnya, Hatem Soussi selepas kewibawaannya diragui setelah persembahan kurang konsisten pasukan bimbingannya.

Sememangnya, pasukan berkenaan kini menjadi tumpuan berdasarkan kepada sokongan padu yang diberikan oleh semua pihak bagi melihat skuad berkenaan bertambah mantap.

Namun keupayaan skuad berkenaan layak ke Perdana Satu bukanlah satu tiket yang boleh diandaikan sebagai sudah melepasi tahap kemajuan yang diunjurkan.

Ini adalah kerana kemampuan skuad berkenaan masih belum mencapai ke tahap membanggakan terutama dalam melahirkan pemain yang benar-benar mempunyai kemahiran individu.

Adalah menjadi satu kerugian kepada skuad berkenaan kerana setelah tiga tahun pasukan berkenaan dibentuk masih belum menonjolkan kemahiran pemain berkemahiran tinggi.

Berdasarkan kepada perkembangan berkenaan skuad Olimpik 2000 masih belum mampu pergi jauh sekiranya kemampuan jurulatih melahirkan pemain dalam kategori berkenaan tidak berhasil.

Tidak dapat dinafikan skuad berkenaan mempunyai tahap permainan secara berpasukan secara total dan sudah menepati ciri-ciri sebagai sebuah pasukan mantap.

Kemampuan skuad berkenaan melepasi halangan dalam kelayakan ke Perdana Satu harus disambut dengan melakukan persediaan mantap memandangkan lawan mereka nanti adalah pasukan yang lebih hebat.

Pasukan Olimpik 2000 sepatutnya mempunyai beberapa pemain tonggak yang boleh memberi semangat juang kepada rakan sepasukan.

Setiap pasukan seharusnya melahirkan pemain tonggak kerana mereka boleh menjana semangat serta memberi tekanan kepada pasukan lawan.

Adalah kurang berkesan sekiranya hanya jurulatih yang diberi tanggungjawab hanya mampu melahirkan pasukan seimbang dalam semua posisi tetapi gagal melahirkan pemain berbisa untuk menggerunkan pihak lawan.

Aspek taktikal serta kemahiran individu merupakan elemen penting untuk dikembangkan dalam permainan sebenar terutama apabila beraksi dalam Perdana Satu.

Umum pasti menunggu kemunculan skuad Olimpik 2000 memberi cabaran getir menjelang aksi mereka dalam Perdana Satu.

Biarlah cabaran pasukan berkenaan dalam Perdana Satu akan dapat melahirkan pemain yang boleh menggegarkan pihak lawan kelak.

Tanpa melahirkan pemain yang digeruni lawan samalah seperti menuju ke destinasi tanpa penghulu kerana meskipun semangat berpasukan ada tetapi tidak mampu bergerak dengan lebih berkesan.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0330&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4FoPqYSNW © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan