Jumaat, 27 Jun 2014

Siapa paling layak?


 


Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Setelah 35 hari Kongres ke-50 Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berlalu, akhirnya mesyuarat exco kali pertama bakal diadakan pada hari ini di Wisma FAM dengan pelantikan jurulatih Harimau Malaya selain penubuhan jawatankuasa eksekutif baru menjadi agenda utama.

Bakal mendapat sentuhan daripada Presiden FAM yang baru, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, teka-teki mengenai siapa mengisi beberapa jawatankuasa paling kanan seperti Pertandingan Tempatan, dan Pertandingan Antarabangsa di badan induk bola sepak itu turut akan terjawab.

Namun, tumpuan semua peminat, dan pemerhati bola sepak negara pasti akan tertumpu kepada siapakah nama yang akan menjadi pilihan FAM mengisi kerusi jurulatih Harimau Malaya yang dibiarkan kosong hampir setengah tahun sejak 31 Disember lalu.

Memandangkan tarikh kejohanan Piala AFF semakin dekat iaitu pada 22 November ini, semakin ramai pihak membuat desakan termasuk Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin agar FAM membuat keputusan secepat mungkin memilih jurulatih supaya tidak mengganggu persiapan pasukan kebangsaan.

Jurulatih PDRM, dan bekas pemain kebangsaan, Dollah Salleh menjadi nama yang disebut-sebut akan terpilih selepas tidak menafikan kepada pihak media bahawa beliau ada menerima tawaran daripada FAM.

Lamaran itu bukanlah kali pertama buat Dollah Salleh (gambar) kerana FAM dipercayai berhasrat mengambil bekas jurulatih MPPJ, Selangor, dan Pahang itu sejak 2008 dan sekali lagi pada awal tahun ini selepas kontrak Datuk K. Rajagobal tidak disambung.

Melantik Dollah sebagai jurulatih Harimau Malaya dilihat sebagai pilihan paling rasional buat FAM memandangkan kejohanan AFF bakal berlangsung kurang lima bulan lagi, dan sebagai jurulatih tempatan, dia sudah mengenali setiap inci kekuatan, dan kelemahan yang ada pada setiap pemain tempatan di Liga Malaysia.

Jika memilih jurulatih luar negara, sudah pasti sesiapa sahaja yang dilantik akan berdepan sedikit masalah memilih pemain untuk diserapkan ke dalam skuad kebangsaan dalam tempoh yang singkat dengan saingan Piala Malaysia sahaja menjadi medan terbaik.

Berdasarkan pengalaman 12 tahun di dalam bidang kejurulatihan, dan membawa tiga trofi Piala Malaysia kepada MPPJ, Selangor dan Pahang, tidak salah untuk meletakkan Dollah selaku jurulatih tempatan terbaik pada era ini selain cukup disenangi oleh ramai pemain.

Selain Dollah, beberapa nama masih kekal menjadi pilihan seperti jurulatih sementara, Datuk Ong Kim Swee selain dua calon luar negara, Gert Engels (bekas jurulatih Mozambique) dan Wolfgang Sidka (bekas jurulatih Iraq).

Jika diukur pencapaian Kim Swee, tidak dinafikan dia lulus kerana sepanjang tiga perlawanan bersama skuad kebangsaan, tiada sebarang kekalahan dicatatkan, selain menamatkan kemarau kemenangan perlawanan berkelas A di luar negara, sejak 2007 dengan menewaskan Yemen 2-1 pada aksi kelayakan Piala Asia 2015.

Tiada salahnya meneruskan momentum yang dibawa oleh jurulatih Harimau Muda A itu bersama Harimau Malaya tambahan kebanyakan pemain yang ditemui sudah mula cukup selesa dengan taktikal, dan corak latihan Kim Swee.

Sekiranya FAM membuat kejutan pada hari ini dengan menggunakan khidmat jurulatih asing, Sidka,60, yang berasal dari Jerman mungkin calon paling layak berdasarkan pengalaman luasnya membimbing beberapa pasukan Asia seperti Bahrain dan Yemen.
RUJUKAN-

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140628/su_01/Siapa-paling-layak#ixzz35tDgYjX0 © Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 9 Jun 2014

PDRM kukuh cengkaman pendahulu Liga Perdana

 
PEMAIN PDRM, Ashfaq Ali (tengah) cuba melepasi kawalan penjaga gol DRB Hicom, M. Jibrail Kamaron dalam perlawanan Liga Perdana di Stadium Petaling Jaya semalam. ATM menang 2-1. - UTUSAN/Roy Azis Abd Aziz
PETALING JAYA - PDRM semakin hampir untuk merangkul kejuaraan Liga Perdana selepas bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan DRB-Hicom 2-1 di Stadium Petaling Jaya petang semalam.

Skuad Dollah Salleh itu seharusnya menang dengan jaringan lebih besar tetapi gagal memanfaatkan peluang untuk menambah gol ketika DRB-Hicom terpaksa beraksi dengan 10 pemain ketika perlawanan berbaki 25 minit.

PDRM memiliki peluang terbaik untuk berada di hadapan pada minit ke-23 apabila Ashfaq Ali berjaya melakukan hantaran terus kepada Bobby Gonzalez namun percubaan lemahnya berjaya diselamatkan penjaga gol, M. Jibrail Kamaron.

Kealpaan benteng pertahanan PDRM dihukum pada minit ke-29 apabila pemain import DRB-Hicom, Ogunboye Iyanu Ezekiel meletakkan pasukan itu di hadapan selepas rembatan derasnya dari sudut kanan kotak penalti menewaskan Azizon Abd. Kadir.

Dua minit kemudian Ashfaq Ali hampir menyamakan kedudukan namun percubaannya sekadar melewati palang gol tetapi Afif Aminuddin menyamakan kedudukan lapan minit kemudian selepas menolak masuk sepakan sudut Mohd. Fauzi Abd. Majid.

Pada minit ke-41, pemain import PDRM, Muhammadou Sumareh berjaya menjaringkan gol kedua menerusi gerakan solo menarik untuk menewaskan penjaga gol DRB-Hicom.

DRB-Hicom dirundung malang pada minit ke-65 apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas pemain pertahanan, Ahmad Faizal Sumar dibuang padang selepas menerima kad kuning kedua.

Mengulas mengenai pertemuan itu, Dollah melahirkan kekecewaan dengan prestasi anak-anak buahnya yang gagal memanfaatkan banyak peluang untuk menambah jaringan.

Katanya, 15 minit pertama perlawanan menyaksikan pasukannya seolah-olah hilang punca dan gagal beraksi dengan baik sehingga menyebabkan mereka ketinggalan sebelum bangkit semula untuk meraih tiga mata penuh.

"Separuh masa kedua baru kami dapat cipta banyak peluang selain pasukan lawan terpaksa beraksi dengan 10 pemain tetapi pemain kami pula takut untuk menyerang dan lebih banyak bertahan," katanya.

Sementara itu, dua pasukan dari utara, Kedah dan Pulau Pinang turut mengukuhkan kedudukan masing-masing selepas mengutip mata penuh.

Kedah menewaskan Sabah 2-0 di Stadium Darul Aman manakala Pulau Pinang menewaskan kelab Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) 3-1 di Stadium Bandaraya.

Dalam perlawanan lain, SPA mengikat Negeri Sembilan 3-3 di Stadium Hang Jebat, Melaka.
RUJUKAN-
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140610/su_04/PDRM-kukuh-cengkaman-pendahulu-Liga-Perdana#ixzz34BaAyM00© Utusan Melayu (M) Bhd