ARKIB : 08/06/1998
Piala Nike kekal di tangan
Malaysia
MALAYSIA nyata terlalu unggul
apabila muncul juara buat kali kedua Piala Nike Zon Asia Pasifik selepas
menewaskan Thailand 3-0 dalam perlawanan akhir di Stadium ITM, Shah Alam petang
semalam, lapor AMRAN MULUP.
Kejayaan manis ini dilengkapkan
lagi dengan dua anugerah menjadi milik Malaysia apabila pemainnya Mohd. Fadzli
Saari diumumkan Pemain Terbaik Perlawanan Akhir dan kemenangan Piala Fairplay.
Kemenangan ini juga memastikan
Malaysia melayakkan diri ke pusingan akhir bola sepak Piala Perdana Nike di
Paris, Perancis sempena Piala Dunia dari 8 hingga 10 Julai ini.
Thailand selaku naib juara juga
turut layak bersama Korea Selatan yang menduduki tempat ketiga akan mengiringi
Malaysia bersaing bersama 16 pasukan lain dari seluruh dunia.
Dalam perlawanan penentuan
tempat ketiga, Korea berterima kasih kepada jaringan tunggal Penjaring
Terbanyak kejohanan, Kim Su Heung pada minit ke-13 menewaskan China 1-0.
Gol-gol kemenangan Malaysia
dijaringkan oleh Mohd. Fadzli (m-18), Masry Junaidy Majid (m-28) manakala satu
gol lagi merupakan jaringan sendiri pemain Thailand, Tada Keelay (m-42).
Jurulatih skuad remaja negara,
Lim Teong Kim menyifatkan kejayaan ini sebagai di luar dugaan.
''Pemain saya bermain dengan
baik dan sewajarnya mereka berhak untuk menang. Memang saya amat gembira dengan
kejayaan awal ini,'' ujar Teong Kim ketika ditemui selepas tamat perlawanan.
Katanya, kejayaan ini di dukung
oleh corak permainan bola sepak sebenarnya ditonjolkan oleh pemain selain
taktikal disiplin di padang.
Jelasnya, pemain akan diberikan
rehat seminggu sebelum dipanggil semula untuk menjalani latihan sebagai
persiapan rapi di Paris bulan depan.
''Kehadiran skuad negara bukan
semata-mata untuk menimba pengalaman sebaliknya berazam untuk mengejutkan
beberapa pasukan Eropah.
''Itulah janji saya bagi
memastikan kehadiran Malaysia di kalangan 16 negara lain dari seluruh dunia
bukan sekadar untuk melengkapkan jadual,'' katanya.
Dalam perlawanan akhir semalam,
jelas penampilan Malaysia yang sukar untuk ditandingi oleh Thailand.
Kemenangan skuad negara ketika
menjinakkan pasukan pilihan Korea Selatan dengan kemenangan 2-0 pada perlawanan
separuh akhir sebelah pagi, bukan disifatkan sebagai nasib.
Sebaik wisel bermula, serangan
bertali arus dengan gerakan-gerakan menarik menjadi tarikan di hadapan 3,000
penonton hingga menenggelamkan Thailand yang terdahulu menewaskan China 2-1
dalam perlawanan separuh akhir.
Benteng Thailand roboh apabila
sepakan percuma Mohd. Fadzli pada minit ke-18 dari jarak 30 meter terus
menerjah jaring menggamamkan penjaga gol Thailand, Damrongsak Boonmuang.
Belum lega lawan mencari gol
penyamaan, hanya tiga minit babak kedua giliran Masry Junaidy meledakkan gol
kedua manakala Tada Keelalay yang cuba menyelamatkan sepakan sudut menendang
bola ke gol sendiri untuk menjadikan kedudukan 3-0 hingga tamat perlawanan.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0608&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4JsEHBuEi
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan