Sabtu, 10 September 2016

Malaysia berkenduri gol

ARKIB : 06/06/1998
Malaysia berkenduri gol
MALAYSIA membuka cabaran Piala Perdana Nike dengan bergaya apabila membelasah Singapura 11-0 pada perlawanan pertama di Stadium Institut Teknologi MARA (ITM), semalam.

Pasukan negara yang diwakili oleh Perlis sebagai juara kebangsaan bawah 14 tahun ternyata bertenaga untuk membenam pasukan jiran dalam kejohanan pusingan akhir peringkat Asia Pasifik.

Kemenangan besar tersebut turut menyaksikan lapan pemain berjaya menyumbat gol ke dalam jaring Singapura.

Khairul Zal Azmie muncul sebagai pemain menjaringkan gol terbanyak dengan tiga gol pada minit ke-9, 15 dan 34 diikuti Fairuz Montana Zainal Abidin dengan dua gol (13) dan (18).

Enam lagi pemain pula masing-masing menjaringkan satu gol iaitu Masri Junaidy (35), Muhammad Hilal Azmi (38), Ahmad Iffzan Hashim (40), Joey Ryan (44), Amir Shahreen Abd. Mubin (45) dan Mohamad Shafizan (50).

Kemenangan tersebut sekaligus memberi peluang kepada skuad kebangsaan meneruskan cabaran pada perlawanan seterusnya.

Ternyata didikan Lim Teong Kim memberi satu kelebihan kepada pemain muda negara mebawa cabaran lebih hebat.

Malaysia yang mempunyai corak permainan lebih kemas mempamerkan permainan menarik hingga susah untuk Singapura yang diwakili oleh Sekolah Menengah Jin Tai mengikut rentak permainanan.

Sementara itu, Korea Selatan turut cemerlang pada perlawanan semalam apabila menumpaskan Thailand 4-0 bagi meletakkan pasukan berkenaan sebagai pasukan pilihan.

Korea tidak perlu menunggu lama menjaringkan gol pertama apabila Lim Su Hueng menggegarkan jaring Thailand pada minit ke-4 dan sekali lagi untuk gol keempat minit ke-40.

Kwong Jib pula membantu Korea dengan menjaringkan dua gol pada minit ke-7 dan 29 bagi menceriakan pasukan Korea semalam.

Korea yang diwakili oleh Sekolah Pertengahan MaSan JoongAng memakai serba merah kelihatan bagitu garang untuk membenam Thailand dari Persatuan Sukan Suphan Buri.

Dalam satu lagi perlawanan, Jepun dan China terikat 1-1 pada perlawanan ketiga diadakan semalam.

Kedua-dua pasukan yang kelihatan seimbang dalam corak permainan gagal menjaringkan sebarang gol pada separuh masa pertama.

Babak kedua menyaksikan Jepun lebih banyak menyerang bagi mencari gol selepas gagal mencapai sasaran tersebut sebelum ini.

Namun pencarian Jepun berlaku disebaliknya apabila Shi Jia-Yi menjaringkan gol pada minit ke-33.

Namun kegembiraan China tidak bertahan lama apabila Sho Mochizuki menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-45.

Kejohanan hari kedua menyaksikan enam lagi perlawanan akan berlangsung di Stadium ITM Shah Alam.

Malaysia akan menentang Jepun pada perlawanan kumpulan A jam 7.30 pagi manakala akan bertemu China jam 4 petang.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0606&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4Js9yTvxW © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan