Sabtu, 10 September 2016

Kesilapan sendiri punca tewas

WARTAWAN SINAR HARIAN
10 SEPTEMBER 2016
 Kesilapan sendiri punca tewas
Kesilapan sendiri punca tewas Fadhli Shas mendapat kepercayaan Kim Swee walaupun jarang diturunkan dalam Liga Malaysia.
SATU perkara yang amat jelas dan tidak boleh dinafikan ialah kesilapan individu daripada Fadhli Shas, telah menjadi titik tolak kepada kekalahan memalukan skuad Harimau Malaysia di tangan Indonesia pada aksi persahabatan antarabangsa di Solo, Selasa lalu.

Apa pun alasannya, pemilihan pertahanan Johor Darul Ta'zim (JDT) itu menimbulkan lebih banyak persoalan kerana dia kerap memanaskan bangku simpanan dalam aksi Liga Malaysia (Liga-M).

Hanya Ketua Jurulatih Kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee sahaja mempunyai jawapan sebab beliau menyenaraikan Fadhli dalam kesebelasan utama.

Mungkin gandingannya dengan Ronny Harun lebih ngam atau pengalamannya bersama skuad senior menjadi alasan kuat dia diturunkan pada malam itu.

Dalam mana-mana kes, pemain yang kurang mendapat masa bermain bersama kelab, peluangnya untuk tersenarai dalam skuad kebangsaan amat tipis.

Sebagai contoh, penyerang prolifik Leicester City, Jamie Vardy tercicir daripada skuad kebangsaan Englan ketika berdepan Slovakia enam hari lalu kerana gagal menyerlah dalam aksi awal Liga Perdana Inggeris (EPL).

Namun, bagi kes Fadhli ada pengecualian, Kim Swee mungkin melihat Fadhli calon paling sesuai mengisi posisi berkenaan.

Dan jika benar Kim Swee percaya dengan kebolehan Fadhli, beliau perlu memujuk pemain tersebut menyertai pasukan lain dalam Liga-M yang boleh menjamin kekerapan bermain untuk dirinya.

Rapuh

Melepaskan gol awal bukan cara terbaik untuk mana-mana pasukan memulakan perlawanan.

Lebih malang lagi, ia terhasil daripada kesilapan sendiri.

Malah, mana-mana jurulatih di dunia pasti mahu menghalang kubu daripada dibolosi pada minit-minit awal.

Situasi makin menyukarkan Harimau Malaysia apabila ketinggalan dua gol dalam tempoh 11 minit dan ia bukan petanda positif untuk melakukan kebangkitan semula apatah lagi tuan rumah mendahului 3-0 ketika permainan baru berusia 21 minit.

Kedudukan 3-0 itu sebenarnya telah membunuh sisa perjuangan pemain negara dan ia dibuktikan dengan corak permainan yang hilang arah, malah tidak keterlaluan boleh dianggap amatur berbanding Indonesia yang baharu sahaja bebas daripada penggantungan lebih setahun daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).

Ketiadaan Safiq dirasai

Ketiadaan kapten berkaliber seperti Safiq Rahim amat dirasai. Ia semakin ketara apabila seolah-olah tiada arahan untuk bertenang dan berkumpul semula selepas ketinggalan satu gol daripada Amri Yahyah pada malam itu.

Jika Amri lebih proaktif, dia mungkin boleh menyuntik lebih banyak tenaga positif kepada pemain lain sekali gus mencetuskan semangat juang pasukan yang akhirnya boleh membunuh momentum Indonesia.

Jika difikirkan kembali, ketinggalan dua gol di awal permainan adalah mimpi ngeri buat mana-mana pasukan namun ia masih belum terlambat untuk mendaki dan membina semua keyakinan sebelum kedudukan bertambah parah.

Baddrol masih tunjang

Selepas mempamerkan aksi buruk di babak pertama, skuad negara tampil lebih kemas di separuh masa kedua.

Mereka turun dengan semangat baharu dan lebih bersatu.

Paling menonjol ialah kelibat pemain Kedah, Baddrol Bakhtiar yang beroperasi di bahagian tengah.

Persembahannya harus diberi pujian kerana dia mampu menahan pasukan daripada runtuh.

Ya, mungkin dia boleh dipersalahkan kerana menjadi punca kepada gol ketiga Indonesia namun di babak kedua dia tampil lebih konsisten berbanding pemain lain.

Hantaran-hantaran jauh dan tepatnya menunjukkan mengapa Baddrol masih relevan dalam skuad kebangsaan.

Apa pun, Kim Swee perlu menggunakan kelebihan ini untuk membina pasukan yang sesuai dengan hantaran-hantaran jauh, kerana beliau sudah tidak mempunyai masa yang cukup untuk bereksperimen lagi.

Dibom kritikan

Selepas kekalahan tempoh hari, skuad negara terutamanya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dihujani kritikan daripada peminat dan pencinta bola sepak tanah air.

Kritikan yang datang bertalu-talu sehingga ada menuntut badan induk bola sepak negara itu dirombak segera bagi mengembalikan semula maruah negara yang tercalar.

Malah, sikap FAM yang beria-ia mahu mencari dalang kepada pembocor maklumat pendrive berbanding memartabatkan bola sepak menambahkan lagi api kemarahan peminat.

Tinjauan Ultras di Facebook rasmi FAM, mendapati badan induk itu terus dihujani kritikan.

Malah, bekas pemain kebangsaan, Bakri Ibni mendesak empat pertahanan Harimau Malaysia iaitu Ronny Harun, Fadhli Shas, Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham dan Matthew Davies digugurkan susulan kekalahan mengaibkan itu.

Jelas Bakri, kesilapan budak sekolah dilakukan barisan pertahanan negara itu tidak boleh dimaafkan kerana tiga situasi jaringan lawan itu berpunca daripada kelemahan teknikal asas.

“Sekiranya jurulatih (Datuk Ong Kim Swee) tidak membuat perubahan segera, saya tidak nampak kita mampu memberi tentangan dalam Piala AFF dan mungkin Malaysia boleh jadi pasukan belasahan,” katanya.

Paling pedas melontarkan pendapatnya berhubung prestasi semasa Harimau Malaysia ialah pengkritik sukan tanah air Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim.

Dengan nada sinis, beliau beranggap kualiti pemain tempatan masih jauh ketinggalan selain membidas pihak pengurusan yang gagal memberikan persediaan kepada pemain sehingga mereka beraksi di padang seperti budak sekolah.

"Pemain kita main tak pakai otak, mereka main macam robot, hantar bola tak betul, tendang tak betul, semua tak betul, macam mana mereka boleh bermain untuk pasukan kebangsaan?" katanya.

Beliau memberi contoh skuad negara Bawah-22 (B-22) tewas 1-2 kepada skuad B-22 Bahrain pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada minggu lalu.

Beliau berkata, pihak pengurusan dan jurulatih gagal menyediakan latihan sesuai dengan corak permainan terkini.

“Mereka tidak diberi latihan yang sesuai, bila kita pilih pemain kita perlu mengkaji cara mereka bermain bukan seperti robot, selalu bagi bola kepada penjaga gol.

“Bagaimana mereka nak capai keputusan baik kalau mereka selalu hantar bola kepada penjaga gol?," ujarnya.

Tak panik

Di sebalik kekalahan memalukan itu, Kim Swee masih boleh bertenang dan menegaskan tiada apa yang perlu dibimbangkan kerana baginya kelemahan skuad negara mampu dibaiki.

Malah Kim Swee menyifatkan kekalahan terbaru itu disebabkan beliau tidak mempunyai ramai pilihan untuk mengisi bahagian pertahanan tengah.

"Apa pilihan yang saya ada? Saya kena lakukan sebaik mungkin dengan barisan pemain yang saya ada. Jika anda lihat situasi dalam pasukan di liga, kebanyakan pertahanan tengah adalah pemain import ataupun pemain yang sudah berusia.

"Jika saya panggil pemain berusia, anda akan cakap saya panggil pemain yang sudah tua, tetapi jika panggil pemain muda mereka dikatakan tidak matang dan belum cukup pengalaman di peringkat antarabangsa," katanya yang enggan menganggap situasi ini sebagai krisis dalam skuad kebangsaan.

Tambah Kim Swee lagi beliau ada cara untuk mengatasi masalah tersebut namun akui ia bukanlah mudah terutama sekali dengan kekangan masa yang tidak mencukupi.

Sumber-SINAR HARIAN  10 SEPTEMBER 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan