MOHAMMAD ROZAIDI ZULKIFLI
| 08 September 2016 12:18 AM
KHAIRUL FAHMI CHE MAT
SEPANG 7 Sept . - Penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat tidak
menyalahkan pemain tertentu ekoran kekalahan Harimau Malaysia kepada Indonesia
dalam perlawanan persahabatan di Stadium Manahan, Solo semalam.
Pemain Kelantan itu menegaskan, bola sepak adalah
permainan berpasukan dan kemenangan atau kekalahan bukan disebabkan oleh seseorang
individu.
“Saya tidak salahkan hanya kepada seorang atau dua pemain
sahaja kerana ini sukan berpasukan jadi semua harus bertanggungjawab di atas
kekalahan ini.
“Sebagai rakan sepasukan seharusnya masing-masing saling
membantu antara satu sama lain dan isu tewas disebabkan kesilapan seorang
pemain tidak sepatutnya timbul,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebaik sahaja tiba dari Indonesia.
Perlawanan semalam menyaksikan beberapa kesilapan mudah
dilakukan pemain negara menjadi punca kekalahan mereka yang menyaksikan tuan
rumah memperoleh tiga gol pantas dalam tempoh 22 minit pertama permainan.
Lebih dikenali sebagai Apex, penjaga gol itu berkata
mereka tidak fokus pada awal permainan sehingga melakukan beberapa kesilapan
mudah yang tidak sepatutnya dilakukan.
Penjaga gol itu mengakui perasaan kecewa dirasai oleh
semua pemain di atas kekalahan itu.
“Bagi saya kita hilang fokus pada awal permainan dan
kesilapan sendiri dihukum pemain Indonesia. Kita juga tahu mereka telah lama
tidak beraksi di pentas antarabangsa dan pastinya keinginan mereka untuk menang
adalah tinggi, tambahan beraksi di tempat sendiri.
“Sesiapa sahaja yang menjadi ahli sukan apabila tewas
pastinya berasa kecewa dan sedih namun kita tidak boleh meratapi kekalahan itu
kerana ini adalah lumrah pertandingan. Kini apa yang diperlukan adalah belajar
daripada kesilapan dan cuba untuk tidak mengulangi kesilapan itu lagi,”
ujarnya.
- Sumber:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/salah-semua-8211-khairul-1.379759#sthash.YmPMRucq.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan