Selasa, 6 September 2016

Padah leka

 
PEMAIN negara Syafiq Ahmad (kiri) mengasak pemain Bahrain.
Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my

Shah Alam: Jurulatih skuad bawah 22 tahun negara (B-22) Frank Bernhardt mengakui kesilapan anak buahnya menjadi punca kekalahan 1-2 kepada Bahrain B-22 pada aksi persahabatan antarabangsa kedua di Stadium Shah Alam, semalam.

Selepas seri tanpa jaringan pada pertemuan pertama di Stadium Shah Alam Selasa lalu, skuad muda negara mengharapkan keputusan baik pada aksi kedua namun tidak berlaku apabila dikecewakan menerusi jaringan kemenangan lawan oleh Hazza Ali Mubarak pada minit ke-90 menerusi sepakan penalti.

Sebelum itu, skuad B-22 negara pantas bangkit untuk memadam jaringan Hazza Ali di minit ke-53 menerusi percubaan penyerang gantian S Kumaahran seminit kemudian.

Bagi Bernhardt, beliau percaya mereka boleh memenangi perlawanan itu andai beberapa percubaan berjaya diterjemahkan dalam bentuk jaringan serta pemainnya tidak melakukan kesilapan mudah.

“Kami ada peluang untuk menjaringkan banyak gol tapi di akhir perlawanan kesilapan individu memberikan kerugian kepada pasukan,” katanya yang ditemui selepas tamat perlawanan semalam.

Dalam perlawanan itu Bernhardt hanya mengekalkan empat pemain dalam kesebelasan utama perlawanan pertama bagi memberi peluang kepada pemain lain manakala tonggak pertahanan Dominic Tan pula diberi pelepasan awal pulang semula ke kelab Johor Darul Ta’zim.

Dan pengendali dari Jerman itu mempertahankan keputusannya untuk melakukan rombakan dalam pasukan.

“Semua pemain perlu ambil peluang ini. Saya tak menyatakan masalah kecergasan menyebabkan kami kalah pada saat akhir, tapi ini adalah disebabkan kesilapan individu,” kata Bernhardt.

Skuad B-22 negara yang turut dikenali sebagai Skuad Projek Sukan SEA 2017 kini dalam persiapan untuk menghadapi temasya sukan dwi tahunan itu di Kuala Lumpur.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 September 2016 @ 5:09 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan