ARKIB : 12/05/1998
Olimpik 2000 mampu dengan
pasukan elit
DARIPADA sebuah pasukan yang
disangsikan keupayaannya, kini skuad Olimpik 2000 mampu mendabik dada untuk
berdiri sama tinggi dengan pasukan elit yang lain, lapor AMRAN MULUP.
Persembahan Olimpik yang
dibimbing oleh jurulatih dari Tunisia, Hatem Souissi tampak mencurigakan pada
aksi awal mengharungi pusingan kelayakan Perdana Satu Mac lalu.
Malah di kalangan peminat
langsung tidak ambil peduli akan kehadiran Olimpik yang disifatkan bakal
menjadi belasahan.
Malah kejayaan melayakkan diri
ke Perdana Satu mengenepikaan pasukan yang lebih berpengalaman seperti Melaka
dan Johor turut disifatkan sebagai nasib.
Begitu juga ketika mengharungi
kempen pertama Perdana Satu apabila sekadar seri 0-0 dengan Brunei, tunduk 0-1
kepada Perak dan teikat 0-0 menentang Kedah dan seri 1-1 dengan Negeri
Sembilan.
Aksi awal menjelaskan betapa
skuad Olimpik mampu beraksi cemerlang tetapi dikecewakan dengan masalah
ketumpulan jentera serangan.
Laungan Hatem menyatakan anak
didiknya masih memerlukan masa untuk bangkit rupanya bukan omong kosong.
Keyakinan jurulatih itu ada asasnya.
Kemenangan mengejutkan 1-0
Olimpik ke atas juara Liga Perdana musim lalu, Sarawak juga belum menimbulkan
keyakinan bahawa anak didik Hatem mula menunjukkan sengat.
Aksi paling menarik ketika
hampir-hampir melakukan kejutan ke atas juara Piala Malaysia musim lalu,
Selangor selepas mendahului 2-0 pada satu ketika menerusi Faziallah Maman dan
V. Saravanan.
Namun kealpaan benteng
pertahanan dalam tempoh lapan minit selepas jaringan ketua pasukan Selangor,
Zainal Abdin Hassan terus meranapkan kedudukan selesa untuk Merah Kuning
mendahului 3-2.
Namun jaringan cantik Gilbert
Cassedy dari sepakan percuma melencong menerjah jaring untuk mengikat kedudukan
3-3, menjelaskan betapa Olimpik bukan lagi pasukan yang dianggap budak
belasahan.
Di hadapan ribuan penonton yang
turut menyaksikan siaran langsung, rata-ratanya menghela nafas lega akan
kehebatan sebenar Olimpik yang nyaris-nyaris mencoretkan malu ke atas Selangor.
Rumusan Hatem perlawanan itu
sepatutnya menjadi milik mutlak Olimpik, akur anak didiknya hilang kepercayaan
dan keyakinan seolah-olah tidak percayakan mereka sedang mengatasi gergasi bola
sepak dengan 2-0.
Faktor kurang pengalaman jelas
membuka mata Hatem satu persatu kekurangan yang perlu diatasi dari semasa ke
semasa.
Yang jelasnya, pertemuan
Olimpik menanti kunjungan pandahlu liga Perdana Satu, Pahang di Stadium Merdeka
Jumaat, bakal menyajikan pertembungan dramatik.
Jika sebelum ini peminat rasa
berat untuk turun ke Stadium Merdeka, namun kini masing-masing sudah memahatkan
keinginan mahu melihat aksi Olimpik untuk menjinakkan Pahang pula.
Menilai satu persatu kelibat
anak didik Hatem jelas masing-masing mula menunjukkan kematangan jauh daripada
aksi sebenar di Piala Belia Dunia, Jun tahun lalu.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0512&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4JNwc1ueS
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan