Khamis, 1 September 2016

Amri kapten Harimau Malaysia

 
AMRI (kiri) ketika sesi latihan di padang Wisma FAM Kelana Jaya, kelmarin. FOTO Osman Adnan
Aziman Rosdi-aziman@hmetro.com.my
Petaling Jaya: Penyerang berpengalaman, Mohd Amri Yahyah dilantik sebagai kapten Harimau Malaysia bagi menggantikan Safiq Rahim yang mengumumkan persaraan di peringkat antarabangsa pada Julai lalu.

Pelantikan itu diumumkan oleh pengendali kebangsaan Datuk Ong Kim Swee, hari ini selepas mengadakan perbincangan bersama pengurus pasukan, Datuk Hamidin Mohd Amin.

"Kami bersetuju untuk melantik Amri sebagai kapten kerana dia pemain senior yang konsisten bersama skuad kebangsaan.

"Dia seorang pemain yang memiliki ciri kepimpinan dan boleh membimbing ramai pemain muda dalam skuad kali ini," katanya.

Amri, 35, dari kelab Johor Darul Ta'zim (Johor DT) sebelum ini pernah menjadi kapten ketika ketiadaan Safiq yang mengalami kecederaan.

Kim Swee turut mengesahkan pemain tengah, Baddrol Bakhtiar dan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat akan menjadi penolong kapten pasukan.

Skuad kebangsaan kini menjalani latihan pusat bagi menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa dengan Indonesia di Stadium Manahan, Solo pada 6 September ini.

Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 September 2016 @ 3:31 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan