Khamis, 29 September 2016

Kim Swee dihimpit kegusaran



Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI

KIM SWEE (kiri) tetap meneruskan latihan meskipun tanpa tiga pemain Johor DT II yang diarah pulang oleh pengurusan pasukan berkenaan.

BAGAI jatuh ditimpa tangga.

Demikian nasib yang menimpa jurulatih skuad Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee apabila pihak pengurusan Johor Darul Takzim II (Johor DT II) meng­arahkan tiga pemain mereka iaitu Mohamad Zaquan Adha Abd. Radzak, Irfan Fazail dan Darren Lok pulang da­ripada menyertai kem latihan pusat skuad tersebut kelmarin.

Secara tidak langsung, keputusan Johor DT II itu sedikit sebanyak dilihat akan mengganggu persiapan skuad negara menjelang aksi persahabatan menentang Singapura di Stadium Nasional pada 7 Oktober depan.

Malah, keputusan itu dilihat agak mengejutkan apabila Kim Swee meng­adakan sesi latihan lebih awal bersama 13 pemain yang sudah tidak lagi ter­ikat dengan aksi Liga Malaysia (Liga M) dan Piala Malaysia musim ini.

Namun, pengendali kelahiran Melaka itu kekal te­nang dan akur dengan permintaan Johor DT II yang mengarahkan ketiga-tiga pemain berkenaan dilepaskan kerana berdasarkan peraturan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), mereka hanya boleh dipanggil melaporkan diri empat hari sebelum perlawanan bersama skuad kebangsaan.

“Saya dimaklumkan bahawa mereka diarahkan pulang ke Johor DT II semalam (kelmarin) dan hari ini (semalam) kita menerima surat daripada pihak Johor DT II dengan mengatakan mereka ha­nya akan dilepaskan berdasarkan peraturan FIFA.

“Jadi, kita harus menghormati peraturan FIFA dan pada masa yang sama juga, saya berharap pemain-pemain ini akan lapor semula sebelum kita beraksi menentang Singa­pura nanti.

“Kita tahu peraturan tersebut tetapi apa yang penting adalah saya dapat mengumpul pemain lebih awal untuk membentuk pasukan yang mantap selain memperbaiki segala kelemahan yang dikenal pasti pada aksi menentang Indonesia baru-baru ini.

“Mereka (Johor DT II) berhak membuat keputusan tersebut dan seperti yang saya katakan tadi, peraturan amat penting untuk kita ikuti. Namun, tujuan saya memanggil pemain lebih awal adalah untuk mendapatkan tempoh masa yang cukup, lagi­pun pemain-pemain ini tidak terlibat dalam perlawanan liga mahupun Piala Malaysia.

“Itu tujuan utama kita dan apabila pihak persa­tuan meletakkan sebarang peraturan, kita terpaksa hormati dan terima secara terbuka,” jelas Kim Swee ketika ditemui di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Kosmo! kelmarin me­laporkan, 13 pemain telah memulakan sesi latihan sebelum 13 pemain lagi akan melapor diri selepas selesai aksi Piala Malaysia dan Piala AFC sebagai persiapan menentang Si­ngapura dan Afghanistan bulan depan.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0929&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4LdJBy4mkHakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan