RABU, 7 SEPTEMBER 2016 @ 6:38 PM
KETUA jurulatih skuad kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee. -
Foto Hasriyasyah Sabudin SOLO: Belum ada keserasian dalam kalangan pemain,
selain benteng pertahanan sering melakukan kesilapan adalah antara punca
kekalahan skuad Harimau Malaysia kepada Indonesia, malam tadi.
Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee
berkata keadaan itu mungkin disebabkan barisan pemain negara belum dapat
menampilkan semangat berpasukan yang baik kerana pasukan itu baru sahaja
dibentuk. "Saya akui pada separuh masa pertama, benteng pertahanan sering
melakukan kesilapan dan membuka ruang kepada pasukan tuan rumah menyumbat masuk
tiga gol," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Ini adalah
perlawanan antarabangsa pertama bagi Indonesia setelah Persatuan Sepak Bola
Seluruh Indonesia (PSSI) digantung setahun oleh Persekutuan Bola Sepak
Antarabangsa (FIFA) ekoran campur tangan kerajaan dalam badan induk sukan
negara itu. Indonesia memilih Malaysia sebagai pembuka aksi antarabangsa
pertamanya di Stadium Manahan di sini, sebagai persiapan menghadapi Piala AFF,
November depan.
Pada perlawanan tersebut, Indonesia mengalahkan Malaysia
3-0 dan ketiga-tiga gol dijaringkan pada separuh masa pertama, dengan jaringan
pertama seawal minit keenam, diikuti dua gol lagi selang beberapa minit
kemudian. Kim Swee berkata berdasarkan penilaiannya pada perlawanan itu,
beberapa pemain mungkin digugurkan, dan beliau terpaksa mencari pengganti dalam
masa yang terdekat memandangkan Piala AFF akan bermula tidak lama lagi.
Beliau berkata perlawanan itu adalah untuk menilai
barisan pemain yang terpilih, dan berharap dapat menggunakan khidmat pemain
baharu atau pemain senior untuk kembali menyarung jersi skuad kebangsaan.
"Kita masih ada masa dan masih boleh melakukan sesuatu," katanya.
Skuad kebangsaan yang diketuai Mohd Amri Yahyah gagal menampilkan permainan
kemas dalam perlawanan itu, selain benteng pertahanan sering melakukan
kesilapan, manakala jentera serangan pula gagal memanfaatkan peluang
menjaringkan gol. Pasukan kebangsaan juga dilihat beraksi dalam keadaan
tertekan apabila tidak henti-henti diejek oleh lebih 25,000 penyokong tuan
rumah sejak awal permainan, termasuk mereka bersorak terhadap pemain negara
dengan "Upin Ipin kalah, kasihan dia", sebelum perlawanan tamat. -
BERNAMA
SUMBER- di : http://www.bharian.com.my/node/190639
Tiada ulasan:
Catat Ulasan