Isnin, 5 September 2016

Bola pantai: Skuad negara tambah yakin

ARKIB : 19/05/1998
Bola pantai: Skuad negara tambah yakin
SELEPAS dua tahun menimba pengalaman dalam mempelajari taktik dan teknik permainan bola sepak pantai pro dunia, pasukan Malaysia kini bertambah yakin mengharungi kejohanan Mild Seven Challenge '98 di Stadium Negara pada 22-23 Mei ini.

Pengurus pasukan Malaysia Wong Hung Nung berkata pemain kebangsaan kali ini lebih mantap dan sesuai untuk bola sepak pantai.

''Pengalaman lalu telah mengajar kita tipu helah dan skil permainan ini dan kita akan turun dengan penuh semangat menentang pencabar terhandal,'' kata Hung Nung.

Pasukan kebangsaan bukan baru dalam permainan bola sepak pantai ini. Mereka pernah bertanding dengan pasukan ternama seperti Brazil dan Amerika Syarikat, tetapi ini kali pertama mereka membariskan pemain tempatan.

Dalam tahun 1996, Malaysia menduduki tempat ketiga menewaskan England dalam perlawanan menentukan tempat ketiga dan keempat, tetapi kalah teruk 10-4 kepada Brazil tahun 1997 dan menduduki tempat keempat.

Barisan Malaysia akan terdiri daripada jurulatih dan bekas pemain midfield kebangsaan Lim Teong Kim dan Hassan Sani yang akan mengemudi pasukan dengan bantuan Ismail Ibrahim, bekas ketua pasukan Johor dan Selangor.

Pemain lain termasuk Mubin Mokhtar, seorang lagi bekas pemain midfield kebangsaan yang terkenal sebagai pakar tendangan lencong yang pernah bermain untuk Pahang dan Selangor dan Khan Hung Meng, pemain utama pasukan kebangsaan tahun 80-an.

Chow Siew Yai, bekas pemain Kuala Lumpur juga turut sama dan beliau akan disertai oleh bekas penjaga gol kebangsaan Ong Yu Tiang.

Malaysia juga membariskan pemain kelahiran Pulau Pinang Ahmad Yusof, pemain midfield kebangsaan yang dihormati.

''Pada tahun 1996 dan 1997, Malaysia menjemput beberapa pemain undangan termasuk Kenny Sansom dan Peter Shilton membantu menguatkan pasukan,'' kata Hung Nung.

Kesemua pemain Malaysia itu kini berlatih di negeri masing-masing dan akan berlatih bersama di Stadium Negara pada 21 Mei bagi membiasakan diri dengan keadaan gelanggang.

Kejohanan ini dijangka menarik kerana ia akan disertai sama oleh beberapa pemain handal dunia seperti Eric Cantona dari Perancis, Junior dari Brazil dan Orang Gua Doug Neely dari Amerika Syarikat. - Bernama

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0519&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4JOHULIsN © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan