Isnin, 12 September 2016

Olimpik tertekan

ARKIB : 04/07/1998
 
PEMAIN skuad Olimpik, Chia Ching Kar (kanan) berjaya menyekat kemaraan pemain Sabah, Harun Laban pada perlawanan Liga Perdana Satu di Stadium Merdeka, malam tadi. Sabah menang 2-1.

SABAH berpuas hati dengan mengutip mata penuh apabila menumpaskan Olimpik 2000 2-1 pada perlawanan pusingan kedua Perdana Satu di Stadium Merdeka, malam tadi.

Kemenangan tersebut membolehkan Sabah melonjak ke tangga keempat dari kedudukan kelapan manakala Olimpik terus bersemadi di tepat tercorot.

Gol Sabah dijaringkan oleh Veselin Kovacevic menerusi sepakan penalti minit ke-16 dan Mohd. Jaya Kassim (36) manakala Olimpik menerusi Tengku Hazman Raja Hassan (25).

Tidak banyak aksi menarik terutama dalam babak awal permainan bagi memecah kebuntuan untuk memastikan perlawanan ini lebih menarik.

Kerancakan permainan mula muncul apabila Sabah mula mengatur gerakan cantik bagi menembusi benteng pertahanan Olimpik yang diketuai oleh S. Jayaprakesh.

Kesilapan ketua pasukan Olimpik, Yuzaiman Zahari menampan bola semasa cuba menanduk keluar bola hasil hantaran lintang Sabah memberi kesan sebaliknya apabila pengadil Kassim Kadir Bacha memberi sepakan penalti kepada Sabah.

Kejadian yang berlaku pada minit ke-16 sekali gus menyaksikan Yuzaiman dilayangkan kad kuning dan pemain import Sabah, Veselin Kovacevic dengan mudah memasukkan sepakan tersebut.

Semangat juang anak buuah Hatem Souissi tetap membara dan berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke- 25 menerusi Tengku Hazman Raja Hussein.

Gol tersebut berpunca daripada gerakan dari sebelah kiri gol Sabah dan Mohd. Khalid Jamlus membuat hantaran cantik kepada Tengku Hazman bagi menyamakan kedudukan.

Permainan selepas itu agak seimbang tetapi menyaksikan Sabah berusaha untuk mendapatkan gol kedua selepas tersentak oleh gol penyamaan Olimpik.

Ternyata pengalaman Sabah sekali lagi memberi peluang menambah gol dan kali ini menerusi tandukan cantik Mohd. Jaya Kassim pada minit ke-36 selepas menerima hantaran daripada Madzalan Emoi.

Babak kedua menyaksikan skuad Olimpik memasukkan V. Saravanan dan Nik Ahmad Fadly untuk memperkukuhkan corak permainan pasukan berkenaan.

Ternyata kemasukan kedua-dua pemain berkenaan mengubah rentak permainan tetapi masih gagal mendapatkan gol penyamaan.

Namun rentak permainan pantas yang dilakukan oleh pasukan Olimpik membuat barisan pertahanan Sabah termasuk penjaga golnya, Khairul Azman terpaksa bekerja keras untuk mematahkan serangan lawan.

Menyedari gerakan yang dilakukan oleh skuad Olimpik masih gagal menyinar, jurulatihnya Hatem membuat pertukaran ketiga dengan memasukkan Hairuddin Omar.

Semua usaha yang dilakukan oleh Olimpik ternyata masih gagal manakala Sabah meskipun kurang menyerlah pada separuh masa kedua masih mampu tersenyum dengan keputusan tersebut.

Oleh: BAKARUDDIN BUSU

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0704&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4K2KjJCkg © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan