Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
Kuala Lumpur:
Malang terus menimpa skuad Harimau Malaysia apabila pengendali Datuk Ong Kim
Swee terpaksa melupakan khidmat tonggak tengah Brendan Gan yang disahkan
mengalami kecederaan lutut yang serius.
Ia tamparan hebat
buat skuad kebangsaan yang sebelum ini sudah kehilangan dua pemain tengah
berpengalaman iaitu kapten Safiq Rahim dan Amirulhadi Zainal yang mengumumkan
persaraan di pentas antarabangsa Jun lalu.
“Brendan salah
seorang pemain penting dalam pasukan, bila ini berlaku sudah pasti kami kekurangan
seorang lagi pemain.
“Kami hilang
seorang pemain tengah yang bukan saja mampu bertahan malah boleh mengatur
gerakan menyerang. Tapi masalah ini tak boleh dielakkan dan yang penting saya
dapat mencari pengganti sebelum Piala AFF,” katanya kepada Arena Metro semalam.
Kecederaan lutut
yang dialami Brendan adalah yang kedua dalam tempoh kurang dua tahun dan kali
ini pemain kacukan Malaysia-Australia itu dijangka terpaksa berehat selama 10
bulan.
Brendan mengalami
kecederaan terbaharu itu ketika beraksi bersama Harimau Malaysia menentang
Indonesia di Solo pada 6 September lalu yang menyaksikan anak buah Kim Swee
tewas 0-3.
Pemain Kelantan
itu memainkan watak penting apabila mengambil alih tugas Safiq yang mengalami
kecederaan ketika Malaysia mengatasi Timor Leste dalam dua aksi kelayakan Play
Off Piala Asia 2019 di Larkin, Jun lalu.
Tanpa Brendan,
Kim Swee mungkin akan memanggil semula pemain Perak, Nasir Basharuddin dan
mengharapkan pemain Johor Darul Ta’zim, Junior Eldstal kembali beraksi selepas
bebas daripada kecederaan.
“Saya masih
memiliki pilihan seperti Baddrol Bakhtiar, Irfan Fazail, Latif Suhaimi, S
Veenod dan mungkin akan memanggil semua Nasir dan Junior,” katanya.
Kim Swee akan
memanggil pemain bagi latihan pusat selepas 25 September ini bagi persiapan
menghadapi Singapura.
Sumber-Artikel
ini disiarkan pada : Khamis, 15 September 2016 @ 10:13 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan