Jumaat, 16 September 2016

Gugur 'budak sekolah'

 
Bakri Ibni

MATTHEW

AZRIF

FADHLI

RONNY
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bekas pemain kebangsaan, Bakri Ibni mendesak empat pertahanan Harimau Malaysia - Ronny Harun, Fadhli Shas, Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham dan Matthew Davies - digugurkan susulan kekalahan memalukan 0-3 di tangan Indonesia pada aksi persahabatan di Stadium Manahan, Solo, kelmarin.

Jelas Olimpian itu, kesilapan budak sekolah dilakukan barisan pertahanan negara itu tidak boleh dimaafkan kerana tiga situasi jaringan lawan itu berpunca daripada kelemahan teknikal asas.

“Gol pertama dan kedua berpunca daripada pemain yang gagal mengeluarkan bola dengan baik serta sentuhan pertama yang mengecewakan.

“Ini kesilapan individu yang tidak patut berlaku dalam kalangan pemain terutama di pentas antarabangsa. Jika asas tidak betul, jadi bahagian pertahanan itu mesti dirombak dan digantikan dengan pemain lain.

“Sekiranya jurulatih (Datuk Ong Kim Swee) tidak membuat perubahan segera, saya tidak nampak kita mampu memberi tentangan dalam Piala AFF dan mungkin Malaysia boleh jadi pasukan belasahan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Gesaan Bakri itu ada benarnya apabila skuad Garuda hanya memerlukan tujuh minit untuk berada di depan menerusi jaringan ketua pasukan Boaz Solossa selepas kesilapan Fadhli yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

Kerapuhan benteng negara terus dirobek empat minit kemudian apabila Irfan Bachdim tenang menyempurnakan hantaran Boaz sebelum ketua pasukan tuan rumah itu sekali lagi menghukum kealpaan benteng untuk meledak gol ketiga pada minit ke-21.

“Pemain seperti tidak berkomunikasi di atas padang dan nampak jelas tiadanya persefahaman antara empat pertahanan itu.

“Banyak kerja yang perlu dibuat Kim Swee dengan pertama, menilai semula aksi bahagian bawah pasukan,” katanya.

Menurut Bakri, beliau turut menasihatkan kem negara supaya mengkaji kekuatan dan kelemahan pasukan lain yang akan dihadapi pada saingan Piala AFF nanti.

“Jangan fikir pasal persiapan kita semata-mata, tapi Kim Swee juga mesti buat kerja rumah mengkaji pasukan lawan. Kalau tidak jangan terkejut keputusan kalah kepada Indonesia boleh berulang di Myanmar nanti,” katanya.

Pada kempen Piala AFF November ini, Malaysia diletakkan dalam Kumpulan B bersama pasukan tuan rumah Myanmar, Vietnam dan juara pusingan kelayakan yang akan diketahui pada awal bulan depan sama ada Brunei, Laos, Timor Leste atau Kemboja.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 September 2016 @ 8:33 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan