Selasa, 13 September 2016

Malaysia tahu kelemahan pasukan China - Souissi

ARKIB : 05/08/1998
JURULATIH kebangsaan, Hatem Souissi berkata, pasukan China mempunyai kelemahannya sendiri yang boleh digunakan oleh skuad negara pada perlawanan penentu ke peringkat akhir Kejohanan Bola Sepak Belia Asia Bawah 19 Tahun di Stadium Larkin, Johor Bahru, malam ini, lapor IShAK SALLEH.

Beliau bagaimanapun enggan menyatakan kelemahan pasukan China itu, sebaliknya mahu menumpukan strategi yang perlu dilakukan bagi menghadapi pasukan pilihan, China.

Katanya, sebagai seorang jurulatih, beliau mempunyai pandangan sendiri mengenai pasukan China dan skuad negara masih mempunyai peluang untuk mengatasi pasukan China.

"Apa yang perlu dilakukan ialah komitmen yang sepenuh dan mematuhi semua arahan yang telah dipertangungjawabkan," kata Hatem kepada pemberita selepas skuad negara menumpaskan Singapura 2-0, malam kelmarin.

Katanya, skuad kebangsaan mampu menewaskan pasukan China sekiranya dapat mengatasi beberapa kelemahan terutama dalam memperkemaskan bahagian serangan dengan membuat penyudah-penyudah yang boleh menghasilkan gol.

Malaysia bersama China, masing-masing mengutip enam mata setelah menghabiskan dua perlawanan. Malaysia menewaskan Laos pada perlawanan pertama dengan 4-0 dan kalahkan Singapura 2-0.

Sementara China pula menewaskan Singapura dan Laos masing- masing dengan 5-0.

Pengurus pasukan China, Li Xiao pula berpendapat, tiada ruang bagi Malaysia untuk menewaskan China dan yakin mereka (China) akan menempah tiket ke peringkat akhir di Chiangmai, Thailand pada Oktober depan.

Katanya, daripada satu sudut, tidak boleh dinafikan, Malaysia mempunyai barisan yang mantap tetapi pihaknya akan berhati-hati dan menyekat pergerakan pihak lawan.

Sementara itu, jurulatih Singapura, Sies Senan berkata, skuad negara mempunyai barisan yang kukuh pada setiap bahagian sehingga menyukarkan pasukan lawan untuk menggugat pertahanan Malaysia.

Katanya, dengan perancangan yang baik, Malaysia mampu menggugat China, walaupun China mempunyai banyak kelebihan serta mempunyai persiapan yang lebih rapi.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0805&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_09.htm#ixzz4KD3qcSEC © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan