27 September 2016
Ong Kim Swee
KETUA jurulatih skuad Harimau
Malaysia, Datuk Ong Kim Swee mengintai kemenangan ke atas Singapura dan
Afghanistan pada dua aksi persahabatan antarabangsa kelas 'A', bulan depan.
Beliau berkata kemenangan dalam
dua aksi persahabatan itu penting bagi memperbaiki kedudukan Malaysia yang
berada pada posisi ke-158 dunia dalam ranking Persekutuan Bola Sepak
Antarabangsa (FIFA) bagi September.
"Kemenangan pada dua
perlawanan ini amat penting kerana akan memperbaiki kedudukan ranking pasukan
kita pada posisi lebih baik," katanya ketika ditemui pemberita pada hari
pertama sesi latihan skuad kebangsaan di padang Wisma Persatuan Bola Sepak
Malaysia (FAM) Kelana Jaya, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Kim Swee
berharap lima muka baharu yang dipanggil menjalani kem latihan pusat kali ini
dapat membuktikan keupayaan mereka untuk terus berada dalam skuad kebangsaan.
Lima muka baharu itu ialah Mohd
Fazrul Hazli Mohd Kadri dari Perak, Muhammad Hadin Azman (Felda United), Ahmad
Khuzaimi Piee (Melaka) serta dua pemain Kedah, Mohd Rizal Mohd Ghazali dan Mohd
Syazwan Zainon.
"Ini peluang terbaik untuk
membuktikan kemampuan mereka dengan pemain sedia ada sebelum saya menamakan
senarai akhir 25 pemain November ini untuk Kejohanan Bola Sepak Piala AFF
Suzuki (di Myanmar) pada Disember.
"Mereka perlu menanamkan
semangat juang tinggi untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama dan saya
harap pemain dipanggil kali ini dapat beraksi dengan baik ketika kita berdepan
dengan Singapura dan Afghanistan nanti," katanya.
Mengenai penyenaraian pemain
Johor Darul Ta'zim II (JDT II) Darren Lok, Kim Swee menjelaskan pemain berdarah
kacukan Malaysia-England itu dipilih pada sesi latihan pusat kali ini kerana
beliau mempamerkan aksi cemerlang bersama pasukannya walaupun baru empat bulan
berada di Malaysia.
"Beliau bersama JDT II
sejak empat ke lima bulan lepas. Sementara kita menunggu beliau mendapat taraf
kerakyatan Malaysia, saya menghantar pembantu saya, Brad Maloney melihat Lok
beraksi selama 45 minit bersama JDT II baru-baru ini, dan ia sudah cukup
meyakinkan saya untuk memanggil beliau pada sesi latihan pusat kali ini.
"Jika saya tidak memanggil
beliau pada kali ini, bila lagi saya boleh berbuat demikian. Ini bukan soal
individu tetapi lebih kepada berbakti untuk negara," tegas Kim Swee.
Media tempatan melaporkan Lok,
24, menyertai JDT II semasa jendela perpindahan pemain Liga Malaysia peringkat
kedua pada Jun lepas, daripada kelab Conference South League, Eastbourne
Borough di England.
Malaysia akan menentang
Singapura pada aksi persahabatan di Stadium Nasional Kallang, Singapura pada 7
Okt, sebelum berdepan Afghanistan di Stadium Shah Alam, empat hari kemudian. –
Bernama
SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE
28.9.2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan