Ahad, 11 September 2016

FAM dituduh mungkir janji

ARKIB : 25/06/1998
PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) memungkiri janjinya apabila memanggil semula tiga pemain senior yang mewakili negara pada Sukan SEA Jakarta bagi membentuk skuad kebangsaan yang akan menyertai perlawanan persahabatan dengan pemain kebangsaan China di Stadium Merdeka, 30 Jun ini.

Mereka adalah antara sembilan pemain senior yang dipanggil bagi memantapkan skuad kebangsaan yang dibarisi pemain Olimpik 2000 bagi menghadapi perlawanan tersebut.

Penyerang, Azman Adnan dan Azmi Mohamad serta pemain tengah Zami Mohd Noor disenaraikan bersama-sama Zalmie Jamlus, Megat Amir Faizal, Moey Kok Hong, V. Thinagaran, Chin Hong Aik dan Mohd Azaruddin Mohd Aziz bagi membentuk skuad kebangsaan itu.

FAM sebelum ini telah membubarkan pasukan kebangsaannya yang terdiri daripada pemain Liga Perdana apabila mereka tewas mengejut kepada Laos dan Indonesia serta gagal mara ke pusingan separuh akhir Sukan SEA di Jakarta, tahun lalu.

Mereka juga telah menugaskan skuad Olimpik 2000 untuk memikul tanggungjawab mewakili negara pada sebarang pertandingan yang melibatkan skuad kebangsaan.

Jurulatih remaja kebangsaan, Hatem Soussi yang menjelaskan perkara itu berkata, beliau memerlukan kehadiran pemain senior tersebut bagi membantu pemain Olimpik 2000 mematangkan permainan mereka.

''Kehadiran pemain senior ini diharap akan dapat memberi tunjuk ajar kepada pemain Olimpik 2000 pada perlawanan ini.

''Pasukan ini (Olimpik 2000) selalu mengulangi kesilapan-kesilapan yang menyebabkan mereka terlepas banyak peluang untuk menjaringkan gol.

''Mungkin kehadiran pemain senior ini dapat membantu mematangkan permainan mereka dengan lebih cepat,'' katanya ketika ditanya mengenai penyenaraian pemain-pemain senior dalam skuad kebangsaan yang dibentuk itu.

China yang merupakan salah satu daripada empat pasukan terkuat Asia mengadakan perlawanan persahabatan itu sebahagian daripada persiapan mereka menghadapi Sukan Asia di Bangkok, Disember ini.

Menurut Hatem, pemilihan pemain senior itu dibuat berdasarkan prestasi keseluruhan dan kekonsistenan mereka sepanjang 15 perlawanan Liga Perdana yang sedang berlangsung.

''Sebagai jurulatih, saya memilih pemain yang saya rasakan mempunyai kaliber dan kemampuan untuk memikul tanggungjawab negara dan tidak terlalu menumpukan kepada pengalaman silam merekaa,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai penyenaraian Azmi yang digantung oleh Persatuan Bola Sepak Johor kerana masalah disiplin.

Menurut Hatem, dia menyenaraikan pemain senior ini kerana pertemuan dengan China merupakan perlawanan peringkat antarabangsa dan pemain yang mempunyai kaliber yang tinggi seharusnya disenaraikan.

Beliau turut mengakui tidak semua pemainnya mempunyai kemampuan memikul tanggungjawab itu walauapun mereka merupakan barisan pemain yang akan beraksi pada perlawanan kelayakan Sukan Olimpik 2000 di Sydney tahun depan.

Oleh: SRY ANGRENI MOHD. ZET

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0625&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4K1GMovQ4 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan