Jumaat, 30 September 2016

Pemain JDT II tinggalkan kem latihan Harimau Malaysia



Rabu, 28 September 2016 @ 6:16 PM
 Oleh Mohamad Zulfaizan Mansor Zulfaizan@bh.com.my
 
ZAQUAN Adha Abd Radzak, Irfan Fazail dan Darren Lok. KELANA JAYA: Tiga tonggak Johor Darul Ta'zim II (JDT II) meninggalkan kem latihan skuad kebangsaan malam tadi selepas dipanggil pulang secara tiba-tiba oleh kelab terbabit.

 Zaquan Adha Abd Radzak, Irfan Fazail dan Darren Lok, yang melaporkan diri di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), semalam tidak kelihatan pada sesi latihan hari kedua, hari ini.

Malah, perkara itu disahkan Ketua Jurulatih Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee, yang menjelaskan tiga tonggak berkenaan dipanggil pulang oleh pasukan JDT II. "Saya dimaklumkan mereka menerima arahan untuk pulang ke pasukan semalam.

 "Kita juga menerima surat daripada pasukan terbabit pagi tadi yang menyatakan mereka hanya akan dilepaskan mengikut peraturan yang ditetapkan FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) iaitu empat hari sebelum perlawanan," katanya sebentar tadi.

 Tiga tonggak terbabit melaporkan diri bersama 10 pemain lain, semalam bagi persediaan perlawanan persahabatan kelas A berdepan Singapura dan Afghanistan pada 7 dan 11 Oktober ini.

SUMBER- : http://www.bharian.com.my/node/196999

Tiada ulasan:

Catat Ulasan