Sabtu, 3 September 2016

‘Drama’ pendrive kini semakin menarik

ZAZALI JAMIAN  |  04 September 2016 12:51 AM

Khalid Ali

KUALA LUMPUR 3 Sept. – Siri isu panas pendrive sudah hampir ke episod akhir dan kini kebanyakan ‘orang lama’ dalam bola sepak tanah air sudah tidak sabar ingin mengetahui isi kandungannya malah ada yang anggap ia umpama satu drama yang menyeronokkan.
Bagi legenda bola sepak negara, Khalid Ali dirinya bersetuju dengan cadangan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan kepada umum dokumen dalam pemacu pena atau pendrive yang didakwa mengandungi maklumat salah urus dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas selesai siasatan.
Kata Khalid, isu tersebut telah menarik perhatian orang ramai malah dirinya sendiri juga tidak sabar ingin mengetahui isi kandungan sebenar dokumen di dalam pendrive tersebut.
Tambah Khalid, sesuatu aib yang dibuka harus dibuktikan tambahan pula apabila ia melibatkan persatuan seperti FAM sendiri.
“Buat masa ini tiada siapa yang tahu isi kandungan di dalam pendrive tersebut dan perkara ini umpama satu drama yang menyeronokkan dan semua orang ingin mengetahuinya.
“Jika benar wujud salah laku dalam FAM sudah tentu saya juga ingin perkara tersebut di adili namun semuanya perlu ada bukti yang kukuh.
“Bagi saya ini umpama satu perang saraf, siapa yang percaya dialah yang kalah,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Khairy pada semalam meminta SPRM mendedahkannya sama ada terdapat penyelewengan atau sebaliknya selepas siasatan selesai.
Menurut Khairy, pendrive serta laporan yang diserahkannya kepada SPRM itu merupakan bahan asal tanpa diubah sejak di­terimanya daripada Tunku Ismail.
Malah beliau tidak membuat sebarang pengesahan kepada SPRM sama ada kandungan pemacu pena tersebut mempu­nyai kaitan dengan individu ter­tentu di dalam FAM atau wujud­nya sebarang penyelewengan dan rasuah.
Khairy juga memberitahu dokumen itu banyak menceritakan isu teknikal bola sepak negara seperti struktur FAM, pembangunan bola sepak akar umbi, isu kejurulatihan serta pembangunan skuad bola sepak wanita.
Dalam pada itu, bekas pemain kebangsaan era 1970-an Hassan Sani berpendapat dirinya selesa mengambil sikap tunggu dan lihat terhadap isu pendrive tersebut selain mengharapkan yang terbaik buat bola sepak negara.
“Saya tidak mahu memberikan komen panjang berhubung isu ini dan kita tunggu dan lihat sahaja nanti,” kata Hassan.
Sementara itu, tokoh bola sepak negara Datuk Peter Velappan yang juga bekas Penolong Setiausaha FAM dari 1963 hingga 1980 berpendapat SPRM wajar diberikan ruang untuk menyiasat isu ini.
“Ya isu ini semua ingin tahu dan kita tunggu apa keputusan daripada SPRM nanti dan mungkin dalam dua atau tiga hari nanti kita akan mengetahuinya,” kata Velappan.


- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/8216-drama-8217-pendrive-kini-semakin-menarik-1.378136#sthash.NvgZCXGx.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan