5 SEPTEMBER 2016
Mohd Amri Yahyah Mohd Amri Yahyah
SKUAD Harimau Malaysia berharap penyokong Indonesia tidak
bertindak agresif ketika menyokong pasukan mereka dalam perlawanan bola sepak
persahabatan antarabangsa di Stadium Manahan di sini esok.
Ketua pasukan Malaysia Mohd Amri Yahyah berkata, walaupun
pemain negara bersedia menghadapi tekanan penyokong tuan rumah, mereka tetap
mengharapkan tiada tindakan agresif yang boleh mengganggu permainan.
"Kita faham keadaan yang akan dihadapi apabila
bermain di gelanggang lawan tetapi janganlah sampai berlaku sesuatu yang tidak
diingini sehingga mengganggu permainan," katanya kepada pemberita di sini
hari ini.
Mohd Amri berkata kedua-dua pasukan yang beraksi esok
berjanji akan bermain secara persahabatan dan harmonis walaupun mengharapkan
kemenangan, berikutan perlawanan itu lebih kepada persiapan menghadapi kempen
Piala AFF pada November depan.
"Kita tahu penyokong Indonesia telah lama menunggu
perlawanan antarabangsa dan apa yang diharapkan ialah permainan akan berlangsung
dengan baik dan aman," katanya lagi.
Beliau berkata skuad Indonesia adalah pasukan yang kuat
dan walaupun mereka tidak beraksi di peringkat antarabangsa selama setahun
akibat penggantungan, pemain republik itu masih beraksi di liga tempatan negara
berkenaan.
Stadium Manahan mampu menampung 25,000 orang dan peminat
bola sepak negara itu dijangka membanjiri stadium berkenaan setelah kehausan
aksi perlawanan antarabangsa selama setahun.
Sementara itu, ketua jurulatih Datuk Ong Kim Swee berkata
walaupun pasukannya mengharapkan kemenangan, apa yang lebih penting baginya
ialah mencari keserasian antara pemain.
"Kita baru sahaja menubuhkan skuad ini dan ia adalah
ujian untuk melihat keserasian pemain terutamanya apabila bermain di luar
negara," katanya.
Kim Swee berkata perlawanan persahabatan itu juga akan
membuka ruang kepada beliau untuk memilih pemain yang layak beraksi pada Piala
AFF nanti
Ini adalah perlawanan antarabangsa pertama bagi pasukan
Indonesia setelah Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) digantung
setahun oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) kerana campur tangan
kerajaan dalam urusan persatuan itu. – Bernama
SUMBER-SINAR
HARIAN 5 SEPTEMBER 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan