PEMAIN kebangsaan memanaskan badan sebelum perlawanan.
Aziman Rosdiaziman@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Indonesia menjadikan Malaysia sebagai
mangsa kebangkitan mereka selepas setahun digantung di pentas antarabangsa
apabila menang 3-0 pada aksi persahabatan di Stadium Manahan, Solo malam tadi.
Kekalahan kepada pasukan di ranking ke-191 dunia itu
mencetus persoalan mengenai kemampuan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee dalam
tempoh lebih kurang dua bulan sebelum memulakan kempen Piala AFF di Yangon,
Myanmar.
Ternyata ketiadaan tonggak utama termasuk kapten Safiq
Rahim, Aidil Zafuan Radzak, S Kunanlan dan Amirulhadi Zainal tampak memberi
kesan kepada permainan skuad kebangsaan yang longlai pada babak pertama.
Rombakan bahagian pertahanan selepas ketiadaan Aidil dan
Kunanlan manakala Shahrom Kalam dan Fazly Mazlan yang mengalami kecederaan
jelas menjadi punca tiga gol mudah dicipta pasukan tuan rumah dalam tempoh 21
minit.
Fadhli Shas yang jarang beraksi bersama Johor Darul
Ta’zim (Johor DT) namun memiliki pengalaman luas di peringkat antarabangsa
melakukan kesilapan ketika mengeluarkan bola untuk penyerang Indonesia Boaz
Solossa meledak gol pada minit ketujuh.
Situasi sama berlaku pada minit ke-11 apabila hantaran
Brendan Gan ke belakang berjaya dipintas Irfan Bachdim yang pantas mengatur
gerakan satu-dua dengan Boaz sebelum menewaskan Khairul Fahmi Che Mat di
gawang.
Selepas Malaysia mengancam menerusi sepakan percuma
kapten Amri Yahyah yang sedikit tersasar pada minit ke-15, Boaz yang beraksi
bersama kelab Persipura Jayapura menghukum aksi kelam-kabut pertahanan negara
dengan menyumbat gol ketiga pada minit ke-21.
Kim Swee membuat percaturan berani menurunkan Safawi
Rashid dan Irfan Fazail dalam kesebelasan utama bagi meraih cap antarabangsa
sulung sebelum turut memasukkan S Veenod menggantikan Brendan yang mengalami
kecederaan.
Jurulatih Alfred Riedl yang mengambil alih skuad Garuda
yang digantung oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) akibat campur
tangan kerajaan dalam pentadbiran Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI)
seakan mengendurkan serangan di separuh masa kedua dengan mengeluarkan Boaz.
Tiada apa yang mampu dilakukan anak buah Kim Swee untuk
bangkit dan mereka terpaksa menanggung kekalahan ketiga dalam sembilan
perlawanan tahun ini sekali gus bakal memberi kesan kepada ranking 167 dunia
ketika ini.
Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 September
2016 @ 7:19 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan