Jumaat, 16 September 2016

Logo baharu dilancar

NAZARUDIN SHAHARI   17 September 2016 12:12 AM


PASUKAN Pilihan Harimau Malaysia (kanan) dan Dugong All Stars bergambar bersama logo baharu Harimau Malaysia sebelum memulakan perlawanan amal sempena Hari Malaysia di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Seremban semalam. UTUSAN/Abd. Razak Aid

SEREMBAN 16 Sept. - Skuad Harimau Malaysia mendapat logo baharu secara rasmi hari ini apabila Persa­tuan Bolasepak Malaysia (FAM) memperkenalkan logo baharu itu sempena Hari Malaysia hari ini.
Logo bermotifkan kepala harimau itu diperkenalkan sebelum sepak mula Perlawanan Amal Hari Malaysia 2016 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Seremban. Serentak dengan itu, lagu rasmi Harimau Malaysia berjudul ‘Launglah’ turut diperdengarkan secara rasmi kepada umum.
Logo rekaan pelajar tahun a­khir Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Grafik di Universiti Teknologi Mara, Puncak Alam, Muhammad Amzar Mohamed, 22, telah mendapat undian tertinggi dalam undian awam yang dibuat secara dalam talian selama 13 hari mulai 22 Mac lalu.
Logo tersebut adalah dalam kalangan lima logo terbaik yang dipilih panel penilai profesional pada 8 Mac lalu daripada 2,000 penyertaan diterima sepanjang peraduan mencipta logo Harimau Malaysia pada Februari lalu.
Logo baharu itu juga diterjemahkan dalam bentuk produk Official Supporters Merchandise yang boleh dibeli di laman web rasmi Harimau Malaysia www.harimaumalaysia.my bermula hari ini.
Mengulas mengenai logo dan lagu untuk Harimau Malaysia itu, Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Affandi Hamzah berkata, pelancaran logo dan lagu baharu itu adalah proses menambah baik penjenamaan semula pasukan kebangsaan.
Beliau berkata, logo baharu itu akan digunakan untuk jersi dan barangan cenderamata pasukan kebangsaan.
“Kami juga harap ini dapat meningkatkan semangat pasukan kebangsaan dalam perlawanan akan datang.
“Peminat juga berpeluang membeli pelbagai cenderamata dengan logo baharu yang mula dijual,” katanya dalam sidang akhbar selepas program berkenaan yang turut dihadiri Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin.
Sempena program semalam, satu perlawanan bola sepak amal telah diadakan antara pasukan Pilihan Harimau Malaysia menentang pasukan Dugong All Stars yang disaksikan oleh lebih 10,000 penonton.
Pilihan Harimau Malaysia di bawah bimbingan jurulatih kebangsaan Datuk Ong Kim Swee membariskan bekas pemain kebangsaan antaranya Datuk Soh Chin Aun, Dollah Salleh, B. Sathianathan, Khalid Ali, Lim Chan Yew, Mehmet Durakovic dan Annuar Abu Bakar.
Pasukan Dugong All Stars yang dikendalikan bekas penyerang kebangsaan dan jurulatih Azman Adnan membariskan pemain dalam kalangan penyampai radio ERA fm, Johan, Hanif, Ray dan Radin serta artis-artis tempatan seperti Black, Tomok, Akim, Zahid dan Achey.
Dalam perlawanan itu, pasukan pilihan Harimau Malaysia menewaskan Dugong All Stars 3-1.
Hasil jualan tiket perlawanan amal itu akan disumbangkan kepada Pakatan Pemuliharaan Harimau Malaysia (MYCAT) untuk meneruskan usaha-usaha pemuliharaan harimau di negara ini.

- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/logo-baharu-dilancar-1.383564#sthash.BgPTKdFR.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan