Isnin, 26 September 2016

Kim Swee panggil 
lima muka baharu



Harimau Malaysia cari ramuan hadapi Piala AFF
FADHILUL IZMEL ISHAK  |  22 September 2016 12:25

KUALA LUMPUR 21 Sept. - Ketua Jurulatih Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee membawa masuk lima muka baharu sebagai persiapan menghadapi dua perlawanan persahabatan kelas A menentang Singapura dan Afganistan.

Kim Swee berkata, beliau mahu memberi peluang kepada kesemua pemain itu untuk membuktikan keupayaan, sekali gus mencari ramuan terbaik bagi membentuk skuad kebangsaan.


Lima pemain yang mendapat panggilan pertama bersama Harimau Malaysia adalah Fazrul Hazli Mohd. Kadri (Perak, tengah), Hadin Azman (Felda United, te­ngah), Ahmad Khuzaimi Piee (Melaka, pertahanan) serta dua tonggak Kedah, Rizal Mohd. Ghazali (pertahanan) dan Mohd. Syaz­wan Zainon (tengah).

“Saya menyenaraikan 25 pemain kali ini kerana kita bakal menghadapi dua perlawanan bertemu Singapura dan Afghanistan.

“Pemain-pemain baharu se­perti Fazrul Hazli, Hadin, Ahmad Khuzaimi, Rizal dan Syazwan diberi peluang membuktikan kemampuan dalam dua perlawanan ini untuk tersenarai ke Piala AFF.

“Selain Brendan Gan yang digugurkan akibat kecede­raan, tiga pemain yang turut diketepikan ialah iaitu Wan Zack Haikal (Wan Nor), Amer (Saidin) dan Khair (Muhammad Jefri Jones).

“Ini bukan bermakna mereka terkeluar terus tetapi saya ingin lihat pemain lain supaya mereka ini diberi peluang yang sama.

“Saya tidak boleh nak senaraikan 28 pemain kali ini. Lagipun saya sudah mengetahui kemampuan Wan Zack, Amer dan Khair, jadi yang penting saya harus memberi peluang kepada pemain lain membuktikan kemampuan mereka,” katanya.

Malaysia akan menentang Si­ngapura di Stadium Nasional, Si­ngapura pada 7 Oktober, sebelum menerima kunjungan Afganistan di Stadium Shah Alam pada 11 Oktober.

Dalam pada itu, Kim Swee berharap skuad Harimau Malaysia dapat mencatat keputusan positif dalam dua aksi persahabatan bagi memperbaiki ranking dunia serta meraih keyakinan sebelum menghadapi Piala AFF pada November ini.

“Saya memilih untuk memulakan kem latihan pusat lebih awal iaitu pada 27 September sebab 12 pemain yang tidak terlibat dalam separuh akhir pertama Piala Malaysia dan Piala AFC kebanyakannya di posisi pertahanan.

“Shahrul (Saad), Ronny (Harun), Matthew (Davies), Nazirul Naim (Che Hashim), Khuzaimi dan Rizal adalah pemain pertahanan, jadi ini memberi peluang untuk saya fokus kepada bahagian ini di mana saya boleh melakukan banyak latihan berkumpulan.

“Jadi apabila baki 13 pemain lain melapor diri pada 2 Oktober, saya boleh terus mempraktikkan keseluruhan taktikal.

“Sasaran kita untuk dua perlawanan ini ialah menilai pemain kerana ini kem latihan pusat ter­akhir sebelum saya menamakan skuad,” jelasnya.
- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/kim-swee-panggil-8232-lima-muka-baharu-1.385640#sthash.5Li7rJKt.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan