Isnin, 5 September 2016

Tiada ramuan khas temu Pahang - Hatem

ARKIB : 13/05/1998
Tiada ramuan khas temu Pahang - Hatem
TIADA sebarang ramuan khas bakal dihidangkan oleh skuad Olimpik 2000 apabila berdepan dengan pendahulu Perdana Satu, Pahang dalam pertemuan dianggap paling sengit di Stadium Merdeka Jumaat ini, lapor AMRAN MULUP.

Sebaliknya Olimpik akan mempamerkan aksi menarik sepertimana mereka mengikat juara Piala Malaysia musim lalu, Selangor dengan keputusan 3-3 pada pertemuan Sabtu lalu.

Namun skuad Olimpik yang akan turun Jumaat ini tampak tempang tanpa dua tenaga utama iaitu pemain pertahanan, Yuzaiman Zahari dan pakar sepakan bebas, Gilbert Cassedy.

Yuzaiman direhatkan selepas diperintah keluar padang kerana mengutip kad kuning kedua ketika bertemu Merah Kuning manakala Gilbert Cassedy yang menjaringkan gol penyamaan menerusi sepakan percuma terpaksa berehat hampir sebulan selepas mendapat kecederaan dilutut kanan.

Yang jelas jurulatihnya, Hatem Souissi jelas tenang menghadapi situasi itu tanpa sebarang keraguan bahawa anak didiknya berazam mahu menyekat Pahang daripada mengutip tiga mata penuh.

''Tiada bezanya tanpa dua pemain itu kerana saya masih memiliki beberapa pemain yang boleh mengisi kekosongan itu.

''Bagi saya berdepan dengan Pahang adalah tugas paling berat memandangkan lawan adalah pendahulu Perdana Satu ketika ini namun ia tidak menggugat keyakinan pemain,'' kata Hatem ketika ditemui sewaktu sesi latihan di padang Wisma FAM Kelana Jaya petang semalam.

Kegigihan pemain yang mengharungi latihan keras dalam keadaan hujan lebat membayangkan kesungguhan Hatem mahu memahatkan satu lagi episod menarik selepas menang 1-0 ke atas Sarawak.

Hatem yakin selepas persembahan memberangsangkan anak buanhya ketika menentang Selangor, persembahan mantap itu juga bakal dihidangkan kepada Pahang.

''Yang penting perlawanan Jumaat ini, pemain saya tidak melakukan kesilapan yang sama ketika bertemu Selangor. Kesilapan-kesilapan seperti itu tidak seharusnya berlaku lagi selepas ini,'' katanya.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0513&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4JNzZTMfK © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan