ARKIB : 06/07/1998
JURULATIH skuad bola sepak
negara, Hatem Souissi tidak mahu terburu-buru membuat keputusan menyerapkan
terus beberapa pemain senior dalam pasukannya hanya berdasarkan satu
perlawanan, lapor JOHARI SHAWAL.
Katanya, masih banyak
perlawanan ujian yang harus diharungi yang menentukan persembahan sebenar
pasukan 'campuran' itu.
''Kehadiran pemain senior ini
adalah untuk memberi pengalaman dan pengajaran baru kepada skuad negara
terutama persefahaman dan pengalaman.
''Memang kita memerlukan pemain
berpengalaman dalam skuad, tetapi tidak bermakna mereka akan terus diserapkan
dalam skuad.
''Berdasarkan perlawanan, kita
nampak pemain kita (Olimpik 2000) lebih yakin biarpun belum menemui rentak dan
kesesuaian dengan pemain senior,'' katanya selepas perlawanan persahabatan
Malaysia dengan China di Stadium Merdeka, minggu lalu.
Hatem menggunakan tujuh pemain
senior dalam perlawanan itu termasuk bekas penyerang kebangsaan, Azmi Mohamad
yang diturunkan sebagai pemain gantian pada babak kedua.
Pemain Liga Perdana Perlis, V.
Thinagaran membantu pasukan di barisan pertahanan bersama pemain Negeri
Sembilan, Ching Hong Aik, manakala barisan depan penyerang Kuala Lumpur, Meor
Nor Shamsul Kamal bergandingan dengan penyerang Olimpik, Mohd. Khalid Jamlus.
Menurut Hatem, masih terlalu
awal untuk mengatakan persembahan skuad negara dikenali Olimpik 2000, yang
bakal membawa cabaran pada Piala Tiger akhir tahun ini dan kelayakan Sukan
Olimpik 2000 di Sydney awal tahun depan, memuaskan.
''Cuma saya gembira persembahan
mereka nampak meningkat dengan adanya pemain senior ini. Mereka memang
memperlihatkan semangat yang kental biarpun gagal menembusi benteng lawan,''
jelasnya.
Pada perlawanan lalu, ia
berkesudahan seri 1-1 dengan jaringan skuad negara diperoleh menerusi Khalid
pada babak kedua selepas China bermain sepuluh orang setelah seorang pemainnya
dilayangkan kad merah.
Gol penyamaan China disumbat
oleh Zhu Qi tiga minit selepas jaringan Khalid.
''Ini adalah pengalaman baru
bagi pemain Olimpik dan mereka mendapat pengalaman dan pengajaran baru dari
pemain senior.
''Kita harapkan peningkatan
dalam beberapa perlawanan persahabatan akan datang yang dapat membantu
persiapan pasukan pada Piala Tiger nanti,'' katanya.
Sementara itu, jurulatih China
dari England, Bob Houghton melahirkan rasa terkejut dengan barisan skuad negara
yang menggunakan tenaga muda.
''Saya lihat mereka memang ada
potensi besar berdasarkan kesungguhan mereka dalam perlawanan tadi. Jika mereka
terus dengan cara permainan sebegini, Malaysia boleh melangkah jauh dengan
skuad yang ada ini,'' ujarnya.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0706&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4K2WjSavM
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan