ONG Kim Swee.
Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
Petaling Jaya: Pengendali Harimau Malaysia Datuk Ong Kim
Swee yakin dapat mencongak corak permainan Indonesia biarpun lawannya itu bakal
tampil buat kali pertama di pentas antarabangsa selepas bebas daripada
penggantungan yang dikenakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Akibat campur tangan kerajaan, FIFA mengambil keputusan
untuk menggantung Persekutuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) daripada
sebarang aktiviti bola sepak di peringkat antarabangsa mulai Mei 2015 hingga
Februari 2016.
Menurut Kim Swee, walaupun Indonesia sudah lama tidak
beraksi serta membariskan ramai pemain baru namun pasukan itu masih menggunakan
sentuhan jurulatih terdahulu Alfred Riedl.
“Dari senarai pemain Indonesia yang dapat saya lihat,
empat atau lima pemain saja pernah beraksi di Piala AFF yang lalu, bakinya
pemain muda.
“Saya percaya Indonesia juga seperti kita yang menurunkan
ramai pemain muda. Yang penting kita tahu Riedl sudah bersama dengan Indonesia
sejak sekian lama dan saya percaya corak permainan Indonesia tidak jauh berbeza
berbanding sebelum ini.
“Ini perlawanan pertama mereka selepas digantung, kita
juga bermain dengan pemain baru jadi ini baik untuk kedua-dua pasukan untuk
beri gambaran kekuatan dan kelemahan masing-masing,” katanya ketika ditemui
pemberita pada sesi latihan pusat skuad kebangsaan semalam.
Harimau Malaysia menjalani latihan terakhir semalam
sebelum berlepas ke Solo, Indonesia hari ini bagi aksi persahabatan
antarabangsa di Stadium Manahan, Selasa ini.
Ia perlawanan pertama Malaysia dengan seteru Asia
Tenggara itu selepas tumpas 0-2 dalam aksi persahabatan di Surabaya pada
September 2014.
Menjelang pertembungan itu, Kim Swee menerima perkhabaran
gembira dengan pemain tengah Brendan Gan serta penyerang Ahmad Hazwan Bakri
menunjukkan perkembangan positif selepas dilanda kecederaan.
“Ini hari kedua Brendan menjalani latihan bersama pasukan
manakala Hazwan turun buat kali pertama dan saya harap Hazwan sempat pulih
apabila kita ke Indonesia bagi perlawanan Selasa nanti.
“Beberapa pemain sudah saya cuba dari segi posisi, sudah
tentu saya sudah ada gambaran, terpulang kepada dua latihan lagi di Solo
sebelum saya memutuskan siapa yang akan bermain,” jelasnya yang kini giat
mempersiapkan pasukan bagi menghadapi Piala AFF di Yangon, Myanmar November
ini.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 September
2016 @ 5:16 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan