Rabu, 7 September 2016

Tagih kudrat bekas empat tonggak negara

7 SEPTEMBER 2016
Ong Kim Swee 
Ong Kim Swee Ong Kim Swee
KETUA  jurulatih Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee masih mengharapkan kudrat bekas empat tonggak negara berikutan kekalahan skuad negara menentang Indonesia pada aksi persahabatan semalam.

Kim Swee mengakui ketiadaan Aidil Zafuan Abd Radzak, S. Kunanlan, Amirulhadi Zainal dan Safiq Rahim menyukarkannya untuk mendapatkan keserasian pemain baharu dalam tempoh yang singkat.

"Mereka adalah pemain utama. Saya terpaksa lakukan pertukaran besar kepada pasukan. Perlawanan di peringkat antarabangsa bukan senang.

"Jika mereka melihat perlawanan semalam, dan mereka menjiwai pemain-pemain lain, saya harap mereka kembali...beraksi demi negara, dengan apa jua krisis yang kita lalui sekarang," katanya selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Tugas berat menanti jurulatih berusia 46 tahun itu dalam mempersiapkan pasukan untuk dua perlawanan persahabatan antarabangsa selepas ini menentang Singapura dan Afghanistan serta satu lagi perlawanan sebelum skuad kebangsaan beraksi dalam Piala AFF Suzuki tahun ini.

Kim Swee turut mengakui beliau tidak dapat menerima kekalahan mudah skuad negara 3-0 kepada Indonesia walaupun sering kali mengingatkan kepentingan posisi pertahanan dalam pasukan kendalianya.

Paling menyukarkan Kim Swee apabila empat pemain pertahanan yang diturunkannnya semalam adalah pertama kali digandingkan selain dalam kalangan mereka kurang pengalaman dalam perlawanan antarabangsa.

Empat pemain itu adalah Ronny Harun, Mohamad Fadhli Mohd Shas, Matthew Thomas Davies dan Mohd Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham.

"Saya banyak kali tekankan kepada pemain bahagian pertahanan adalah posisi paling penting, bukan senang di mana keempat-empat pertahanan saya ditukarkan dan digandingkan buat pertama kali.

"Saya faham kita tewas dengan keputusan yang tidak munasabah, secara realitinya apa yang kita perlukan, saya tidak boleh mengambil pemain yang belum matang dalam peringkat antarabangsa," jelasnya. –Bernama

Sumber-SINAR HARIAN ONLINE 7 SEPTEMBER 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan