Oleh MUHD. ARDIE
PUTRA SUHAIMI
FIRDAUS (kanan)
mahu pastikan skuad B-19 negara melangkah ke pusingan separuh akhir Piala AFF
B-19 yang sedang berlangsung di Hanoi, Vietnam.
PENYERANG muda
negara, Muhd. Jafri Firdaus Chew berharap dapat membantu skuad Bawah 19 (B-19)
kebangsaan layak ke pusingan separuh akhir kejohanan Piala Persekutuan Bola
Sepak ASEAN (AFF) B-19 lebih awal dengan mengutip tiga mata penuh menjelang
aksi ketiga peringkat Kumpulan A menentang Timor Leste hari ini.
Sebagai rekod,
skuad remaja negara beraksi cemerlang pada dua perlawanan lepas apabila
mengumpul enam mata hasil kejayaan menewaskan Filipina 5-0 sebelum menang tipis
ke atas pasukan jiran, Singapura 2-1 dalam saingan yang berlangsung di Hanoi
kelmarin.
“Saya akui
sasaran kami adalah untuk mengutip tiga mata penuh, sekali gus meneruskan
momentum kemenangan. Namun, saya tidak mahu rakan-rakan sepasukan memandang
rendah keupayaan pasukan lawan (Timor Leste),” kata pemain berusia 19 tahun itu
ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Sementara itu,
pemain kelahiran Pulau Pinang itu turut mengakui jadual padat yang diharungi
mereka pada kempen kali ini hampir memakan diri pada aksi menentang Singapura
kelmarin.
“Kami bermula
garang pada separuh masa pertama tetapi situasi berbeza berlaku pada babak
kedua yang mana rakan-rakan nampak keletihan kerana tidak mempunyai rehat yang
cukup. Bagaimanapun, mentaliti kami kuat untuk bertahan sehingga wisel penamat
kerana sangat rugi sekiranya saingan tersebut berakhir dengan keputusan seri,”
katanya yang telah meledak dua gol dalam kejohanan kali ini.
Dalam
perkembangan sama, pengendali skuad B-19 negara, Frank Bernhardt turut
berkongsi pendapat yang sama kerana mengharungi tiga perlawanan dalam tempoh
enam hari telah menjejaskan prestasi anak-anak buahnya.
“Memang saya agak
risau sekiranya masalah kepenatan menghantui pasukan ekoran mengharungi jadual
yang padat. Kami hanya diberikan rehat sehari sebelum turun beraksi dalam
perlawanan berikutnya, dan saingan bertambah sukar apabila ia dilangsungkan
pada waktu petang dalam keadaan cuaca panas.
“Situasi tersebut
hampir menghukum pasukan dalam aksi menentang Singapura apabila barisan pemain
gagal mengawal rentak di babak kedua hingga memberi keyakinan kepada pihak
lawan untuk bangkit pada penghujung saingan,” kata pengendali dari Jerman yang
turut bertanggungjawab mengemudi skuad B-22 negara.
Sumber-Artikel
Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0917&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4KVkI2j8e
Hakcipta terpelihara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan