ARKIB : 10/05/1998
REBUT... Penyerang Selangor,
Rusdi Suparman (depan) diasak oleh pemain Olimpik 2000, Johnny Joseph sewaktu
perlawanan bola sepak Liga Perdana Satu di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Selangor menang 3-3.
MERAH kuning nyaris berubah
menjadi merah padam apabila hampir menerima kejutan namun bangkit dalam
perlawanan dramatik untuk mengikat Olimpik 2000 dengan keputusan seri 3-3 dalam
perlawanan bola sepak Liga Perdana Satu di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Ketinggalan 0-2 pada satu
ketika, Selangor bangkit mendadak dalam tempoh lapan minit untuk mencipta tiga
gol menerusi Zainal Abidin Hassan (m-64), Shahril Arsat (m-70) dan Azman Adnan
(m-72).
Namun penguasaan sepenuhnya
Selangor pada babak kedua dan mula mengukir senyum untuk mengamit tiga mata
penuh setelah mendahului 3-2, dileburkan oleh jaringan penyamaan pemain gantian
Olimpik, Gilbert Cassedy lapan minit sebelum tamat perlawanan.
Gol pembukaan menjadi milik
Olimpik apabila Faziallah Maman menyambar bola lantunan yang mengenai badan K.
Gunalan yang membuat larian solo sebelum melepaskan rembatan kencang yang gagal
diselamatkan Azlisham Ibrahim.
Selangor terus sengsara hanya
27 saat babak kedua bermula apabila Olimpik memperolehi gol kedua menerusi V.
Saravanan.
Tengku Hazman Raja Hassan
melorongkan tepat ke arah Saravanan yang berjaya melepasi Aizal Lamin sebelum
melepaskan sepakan menewaskan Azlisham.
Zainal menyempurnakan keadaan
kelam kabut di kawasan kotak penalti lawan untuk menanduk masuk gol pertama
Selangor pada minit ke-64.
Shahril Arsat kemudian berjaya
merembat masuk menjadikan kedudukan 2-2 hanya selepas enam minit jaringan
Zainal.
Azman Adnan menambah lega
Selangor apabila menyempurnakan sepakan penalti selepas Jamsari menjatuhkan
Mohd Rizal Hassan pada minit ke-72.
Bagaimanapun, Olimpik
menyamakan kedudukan hasil sepakan percuma yang cantik oleh pemain gantian
Gilbert dari luar kotak penalti.
Sementara itu, Negeri Sembilan
nyaris menerima aib besar apabila berjaya berkongsi satu mata dengan Brunei
selepas seri 1-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Halim Jantan, Zami Mod. Nor dan
Scott Ollerenshaw merupakan tiga penyerang yang mempersia-siakan peluang
terbuka untuk mendahului lawan pada minit kelima, 23, dan 39 dan 45.
Namun begitu, Brunei lebih
ligat mencari peluang untuk mendahului Negeri Sembilan pada minit ke-56.
Gol itu dijaringkan oleh
penyerang import Patron Akapo hasil gerakan satu dua dengan Mohd. Said Abdullah
yang gagal diselamatkan oleh penjaga gol, Mohd. Hamsani Mohamad.
Bagaimanapun, jaringan Brunei
itu tidak melemahkan semangat pasukan tuan rumah sebaliknya bertindak balas
menyamakan kedudukan pada minit ke-61.
Gol itu berpunca daripada
hantaran Guss Cerro yang membuat hantaran lintang ke dalam kawasan gol Brunei
dengan mudah bagi pemain pertahanan Pedro Paolo Oliviera membuat tandukan
kencang yang gagal diselamatkan oleh Ibrahim Abu Bakar.
Walaupun selepas gol itu, Negeri
Sembilan mempertingkatkan lagi serangan bahaya namun semua percubaan itu tidak
menepati sasaran.
Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0510&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4JNTwnzD4
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan