Khamis, 15 September 2016

Tengku Abdullah 
luah kekecewaan

Tengku Abdullah luah kekecewaan
FADHILUL IZMEL ISHAK  |  16 September 2016 12:12 AM

AFANDI HAMZAH (kanan) berbincang sesuatu dengan Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin ketika Kongres Tahunan FAM ke-52 di Petaling Jaya, Selangor semalam. UTUSAN/Abdul Razak Latif

KUALA LUMPUR 15 Sept. - Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menyifatkan tuduhan penyelewengan kuasa serta korupsi terhadap badan induk tersebut sebagai serangan ke atas beliau sendiri secara peribadi.
Tengku Abdullah, dalam ulasan pertamanya secara terbuka berhubung isu pemacu pena kontroversi, jelas berasa begitu kecewa dengan pertuduhan yang dilemparkan terhadap FAM yang dikaitkan dengan isu ketirisan dan salah urus.
“Saya mengakui, kita bukan badan sukan yang bebas daripada segala kelemahan dan saya sedar masih banyak perkara yang perlu kita lakukan dalam semua aspek. Saya masih lagi berpandangan kita perlu melakukan banyak perkara dalam apa jua sekali pun.
“Lantaran itu, semasa saya menawarkan diri untuk memimpin FAM ketika Kongres Pemili­han yang lepas, saya telah sasarkan beberapa perkara yang perlu diberi tumpuan sama ada dengan kadar segera atau berperingkat.
“Saya sedar tindakan itu tidak mungkin dipersetujui semua orang, mungkin ada yang menyokong dan ada yang sebalik­nya. Itu semua saya sudah bersedia untuk menerimanya.
“Tetapi apabila diserang dan dituduh sebagai tidak beramanah itu sudah berbeza, adakalanya saya lihat ia sebagai perkara yang terlalu peribadi.
“Sepanjang tempoh saya bersama FAM, kita antara badan sukan yang pertama membawa masuk juruaudit luar untuk memeriksa FAM. Lebih daripada itu, kita juga membawa masuk FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) untuk melaksanakan pemantauan, proses pengauditan dalaman dan sebagainya,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Presiden, Datuk Seri Afandi Hamzah ketika Kongres FAM ke-52, di sini hari ini.
Tengku Abdullah tidak hadir ke kongres tersebut kerana ber­ada di luar negara.
Sementara itu, Afandi yang ditanya sama ada FAM bakal mengambil tindakan undang-undang seperti saman malu dan sebagainya berkata perkara itu akan dibincangkan selepas badan induk tersebut menerima laporan dan pemacu pena yang didakwa me­ngandungi maklumat berkaitan korupsi, ketirisan dan salah urus FAM daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Kami masih belum membuat sebarang keputusan mengenai­nya kerana masih menunggu laporan daripada SPRM. Kami tidak tahu apa yang terkandung dalam pemacu pena berkenaan. Sebaik sahaja kami terima, kan­dungan pemacu pena itu akan dibentangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif nanti,” katanya.
Pada 18 Julai lalu, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendakwa bahawa beliau memiliki pemacu pena yang mengandungi pelbagai maklumat mengenai penyelewengan dan salah laku badan induk bola sepak negara itu sepanjang tempoh 30 tahun.
Malah, sebahagian kecil daripada maklumat yang dikatakan bukti berlaku salah urus dalam FAM dan berkemungkinan terkandung dalam pemacu pena itu kemudiannya dimuat naik ke dalam akaun Facebook Johor Southern Tigers milik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) kepunyaan Tunku Ismail.
Tunku Ismail kemudian menyerahkan peranti tersebut kepada Khairy Jamaluddin pada 26 Ogos lalu sebelum Menteri Belia dan Sukan itu membuat keputusan untuk memberi pemacu pena berkenaan kepada SPRM pada 2 September untuk disiasat.
Namun, SPRM mengesahkan mereka mendapati pemacu pena itu tidak mengandungi sebarang unsur rasuah mengikut Akta SPRM 2009 seperti yang diperkatakan, hanya beberapa hari selepas Tunku Ismail terlebih dahulu mengeluarkan kenyataan yang sama.

- Sumber: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/tengku-abdullah-8232-luah-kekecewaan-1.383105#sthash.xYyVSYgY.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan