MOHAMMAD ROZAIDI ZULKIFLI
| 08 September 2016 12:18 AM
PEMAIN Malaysia, Wan Zack Haikal Wan Nor cuba melepasi
kawalan pemain Indonesia, Fachruddin Wahyudi Aryanto dalam perlawanan
persahabatan di Stadium Manahan, Solo malam semalam. Indonesia menang 3-0. AFP
SEPANG 7 Sept. – Pengendali Harimau Malaysia, Datuk Ong
Kim Swee berharap Safiq Rahim dan tiga pemain lain yang bersara pada Julai lalu
bersimpati dengan apa yang dialami rakan-rakan mereka di tangan Indonesia dan
mengubah fikiran untuk kembali menyarung jersi negara.
Kim Swee mengakui skuadnya amat merasai kehilangan Aidil
Zafuan Abd. Radzak, S. Kunanlan, Amirulhadi Zainal dan Safiq yang selama ini
menjadi tonggak pasukannya sehinggakan pasukan negara mudah dijinakkan dalam
perlawanan persahabatan dengan Indonesia semalam.
Selain merasai ketiadaan mereka, Kim Swee menjelaskan
pemain-pemainnya juga masih belum serasi setelah dia terpaksa membuat 14
pertukaran kepada skuad yang tewas 3-0 kepada Indonesia di Solo itu dan mereka
disatukan dalam tempoh yang singkat.
“Mereka adalah pemain utama dan kehilangan mereka
menyebabkan saya terpaksa melakukan perubahan besar kepada pasukan. Perlawanan
peringkat antarabangsa bukan senang. “Cuma saya harap jika mereka melihat
perlawanan semalam, dan mereka menjiwai apa yang dirasakan pemain-pemain lain,
saya harap mereka kembali beraksi demi negara, dengan apa jua krisis yang kita
lalui sekarang,”
katanya selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa
Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.
Keputusan itu memberi gambaran bahawa jurulatih berusia
46 tahun itu bakal menghadapi tugas sukar dalam usaha menyediakan pasukan
terbaik untuk beraksi dalam kejohanan Piala AFF tahun ini. Kim Swee akan dapat
menguji pasukannya dalam dua lagi perlawanan persahabatan iaitu menentang
Singapura di Stadium Nasional, Singapura pada 7 Oktober dan Afghanistan di
Stadium Shah Alam pada 11 Oktober.
Dalam pada itu, Kim Swee turut mengakui dia tidak dapat
menerima kekalahan mudah skuadnya kepada Indonesia setelah dia sering kali
mengingatkan kepentingan posisi pertahanan kepada pemain-pemainnya.
Namun, pengalaman jelas menjadi musuh skuad Kim Swee
kerana empat pemain pertahanan iaitu Ronny Harun, Mohamad Fadhli Mohd Shas,
Matthew Thomas Davies dan Mohd. Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham yang
diturunkannya semalam kali pertama digandingkan serta kurang pengalaman dalam
perlawanan antarabangsa.
“Saya banyak kali tekankan kepada pemain bahagian
pertahanan adalah posisi paling penting, bukan senang apabila keempat-empat
pertahanan saya ditukarkan dan digandingkan buat pertama kali.
“Saya faham kita tewas dengan keputusan yang tidak
munasabah tetapi secara realitinya kita perlu terima. Pastinya saya akan
melakukan seberapa baik yang mungkin dengan apa yang saya ada. “Kita juga perlu
memahami, saya tidak boleh mengambil pemain yang belum matang untuk perlawanan
antarabangsa,” tegasnya
- SUMBER:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/safiq-diminta-keluar-daripada-persaraan-1.379761#sthash.gDFm4WCD.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan