3 SEPTEMBER 2016
Ong Kim Swee Ong Kim Swee
MALAYSIA tidak gentar berdepan dengan pasukan Indonesia
yang berwajah baharu pada aksi persahabatan antarabangsa kelas 'A' di Stadium
Manahan, Solo, Indonesia, pada Selasa ini.
Ketua jurulatih skuad Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim
Swee menjelaskan walaupun skuad Garuda itu dibarisi sebahagian besar pemain
muda namun mereka mampu memberikan saingan sengit memandangkan kedua-dua
pasukan mempunyai corak permainan yang hampir sama.
"Daripada senarai pemain Indonesia yang saya
perolehi, empat atau lima pemain mereka pernah beraksi pada Piala AFF Suzuki
yang lepas dan selebihnya adalah pemain-pemain muda.
"Saya percaya Indonesia juga melakukan transisi sama
seperti kita dengan kemasukan pemain muda namun saya percaya permainan mereka
dengan pasukan kita tiada banyak beza kerana mereka masih dikendalikan oleh
Alfred Riedl yang sudah lama bersama Indonesia," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sebelum
sesi latihan skuad kebangsaan di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM),
Kelana Jaya, hari ini.
Dalam pada itu, Kim Swee berkata, kesebelasan utama skuad
kebangsaan berdepan Indonesia hanya akan ditentukan selepas dua sesi latihan
singkat di negara berkenaan kerana beliau mahu memberi peluang kepada muka
baharu membuktikan keupayaan masing-masing.
Beliau pada masa sama turut menjelaskan dua tonggak iaitu
pemain Kelantan, Brendan Gan dan penyerang Selangor, Ahmad Hazwan Bakri hampir
pulih daripada kecederaan. - Bernama
SUMBER-SINAR
HARIAN 3 SEPTEMBER 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan