Harimau Malaysia waspada aksi Garuda
FADHILUL IZMEL ISHAK
| 04 September 2016 12:10 AM
ONG KIM SWEE (kiri) memberi arahan kepada pemain skuad
kebangsaan dalam sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.
mingguan/FAISOL MUSTAFA
KUALA LUMPUR 3 Sept. - Biarpun Indonesia baru dibebaskan
daripada penggantungan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), namun
jurulatih Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee percaya mereka masih pasukan
yang sama.
Kim Swee berkata, pertemuan di antara Malaysia menentang
Indonesia dalam aksi persahabatan kelas A di Stadium Manahan Solo, Selasa depan
merupakan aksi pertama skuad Garuda itu di pentas antarabangsa selepas
digantung.
Namun, memandangkan lawan menggunakan khidmat Alfred
Ried, dia percaya jurulatih dari Austria itu akan menggunakan corak permainan
yang sama seperti dulu.
“Persiapan kami semua berjalan lancar. Brendan Gan dan
Ahmad Hazwan (Bakri) sudah semakin pulih.
“Saya juga mencuba beberapa pemain dalam pelbagai posisi
dan saya sudah ada gambaran pemain mana yang akan diturunkan.
“Bagaimanapun, semua bergantung kepada dua hari latihan
di Solo sebelum saya memutuskan pemain mana yang bakal beraksi.
“Daripada senarai pemain Indonesia, saya dapati ada empat
atau lima pemain pernah beraksi pada Piala AFF 2014 dan selebihnya pemain muda.
“Saya percaya Indonesia seperti kita di mana mereka
melakukan transisi dengan membawa masuk lebih ramai pemain muda,” katanya
kepada pemberita di Wisma FAM hari ini.
Riedl, 66, pernah berkhidmat sebanyak tiga kali bersama
Indonesia iaitu pada 2010 hingga 2011 kemudian 2013 hingga 2014 dan terbaharu
2016 hingga sekarang.
Malah, dia juga pernah mengemudi beberapa pasukan dari
rantau Asia Tenggara seperti Vietnam dan Laos.
Dalam pada itu, Kim Swee memberitahu, dia tidak memberi
fokus kepada mana-mana pemain Indonesia, sebaliknya menggesa anak-anak buahnya
mengawasi skuad Garuda itu secara pasukan meskipun tiga daripada pemain mereka
beraksi di luar negara iaitu Andik Vermansyah (Selangor), Irfan Haarys Bachdim
(Jepun) dan Dedi Gusmawan (Myanmar).
“Pemain baharu yang dipanggil menunjukkan kesungguhan dan
mereka juga bercampur gaul dengan senior di dalam dan luar padang.
“Bagi saya semua pemain harus diberikan tumpuan
terutamanya sebagai satu unit.
“Indonesia beraksi perlawanan pertama selepas digantung
dan kita bermain dengan pemain baharu.
“Situasi ini baik untuk kedua-dua pasukan di mana ia akan
memberi kita gambaran tentang apakah kelemahan dan kelebihan kita,” katanya
lagi.
“Saya harap penyokong Indonesia akan memenuhi stadium
kerana saya percaya perlawanan menentang Myanmar dalam Piala AFF 2016 nanti
stadium juga akan dipenuhi dengan peminat lawan.
“Ini memberi pengalaman yang cukup baik sebelum kita
menghadapi Myanmar,” katanya lagi.
Tambah Kim Swee, pihaknya masih lagi menunggu keputusan
satu atau dua lagi pasukan yang ingin mengadakan aksi persahabatan bersama
Harimau Malaysia sebelum menghadapi Piala AFF 2016, selain Korea Utara dan Hong
Kong.
- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/indonesia-masih-berbisa-1.378129#sthash.jXqhOfUo.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan